Ibu Emas Milik Thailand, Mimpi Ngeri 2001 Berulang

Bola Sepak: Skrip 2001 berulang, ibu segala emas bukan milik kita

Hasrat skuad bola sepak negara untuk menebus kekalahan final Sukan SEA 2001 di tangan Thailand lebur selepas sekali lagi tewas 1-0 dalam perlawanan akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kepada lawan sama, sekaligus terlepas peluang untuk meraih pingat emas dalam aksi di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kedudukan kontinjen Malaysia yang sudah sah sebagai juara keseluruhan temasya KL2017, dengan stadium yang sesak dipenuhi 80,000 penonton — ramai yang beratur panjang berjam-jam untuk mendapatkan tiket bagi menzahirkan sokongan mereka — seharusnya menyuntik motivasi terbaik buat barisan bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Sebaliknya, juara bertahan, Thailand, yang lebih menyerlahkan keyakinan dan kelancaran gerakan seolah-olah mereka yang bermain di halaman sendiri.

Bermain di atas permukaan padang basah akibat hujan, gawang Malaysia hampir dibolosi pada minit ke-26 selepas bola hasil sepakan sudut Sasalak Haiprakhon tepat singgah ke kepala Phicha Au-Tra, namun sempat dikuis keluar oleh penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli.





Bagaimanapun, sepakan sudut kelima Thailand pada minit ke-39 dari Sasalak gagal ditumbuk keluar Haziq dengan kemas, sebaliknya menerjah masuk ke pintu gol sendiri untuk Thailand mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Meskipun Malaysia berjaya memperkemas permainan dalam separuh masa kedua, namun kekebalan benteng skuad kendalian Worrawoot Srimaka itu mudah mengekang asakan jentera serangan Malaysia yang akhirnya menyaksikan skuad negara terlepas peluang untuk merangkul ibu segala pingat emas bagi acara bola sepak.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Indonesia yang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1 mengatasi Myanmar.

Myanmar mendahului 1-0 pada minit ke-21 menerusi rembatan jarak dekat Than Paing, namun tiga gol dalam babak kedua daripada Evan Dimas, Osvaldo Haay dan Rezaldi Hehanussa membolehkan Indonesia meraih kemenangan 3-1 untuk membawa pulang gangsa.

stadiumastro