Kejohanan AFC B-23 jadi penanda aras baru

Meskipun gagal merangkul ibu emas Sukan SEA Kuala Lumpur, skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara tampak berjaya menyerlahkan keyakinan untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, tahun depan.

Susulan daripada kejayaan melangkah ke pusingan akhir kejohanan itu, skuad negara tampil dengan penuh berkeyakinan dalam saingan Sukan SEA.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee mencatat rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan meskipun bermula perlahan dalam dua perlawanan pertama selepas sekadar melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Brunei dan Singapura.

Prestasi sebenar dijelmakan ketika perlawanan ketiga menentang Myanmar menerusi kemenangan 3-1 sebelum menewaskan Laos dengan keputusan sama dalam aksi terakhir.

Aksi separuh akhir berdepan Indonesia yang dianggap pertembungan maruah, skuad muda negara turut berjaya mengatasi tekanan untuk melakar kemenangan 1-0.





Begitupun, hasrat skuad negara untuk mengulangi pencapaian 2011 di Jakarta, Indonesia tidak kesampaian apabila tunduk 0-1 bertemu juara bertahan, Thailand.

Meskipun mencapai sasaran layak ke final, masih ada kelemahan perlu diperbaiki skuad muda negara berdasarkan prestasi pemain sepanjang kempen Sukan SEA ini.

“Kami telah memberikan cabaran yang hebat kepada Thailand kerana seperti kita tahu mereka pasukan yang kuat.

“Tetapi untuk tewas dengan gol sebegitu, sangat mengecewakan tetapi pemain telah cuba memberikan yang terbaik. Cuma kami tidak bernasib baik kerana gagal menyamakan kedudukan,” kata jurulatih pasukan negara, Datuk Ong Kim Swee.

Rata-rata pemain negara berjaya menyerlahkan kemampuan masing-masing, namun ada juga yang menunjukkan prestasi di bawah tahap keupayaan sebenar.

Pemain seperti Safawi Rasid, N. Thanabalan, Nor Azam Azih, Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria menghadirkan keyakinan untuk beraksi di peringkat lebih tinggi bersama pemain muda lain, Akhyar Rashid dan Danial Amier Norhisham.

“Mereka bermain dengan cukup baik, tahap stamina mereka juga meningkat kerana sebelum ini apabila memasuki minit ke-70 kita banyak tewas. Apa yang berlaku sepanjang kempen ini, kita bermain dengan baik sehingga minit ke-90,” kata penganalisi bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri.

Bagaimanapun, barisan pemain ini perlu dipersiapkan lebih awal jika berhasrat menggegar pentas Asia tahun depan.

Kejohanan AFC B-23 sememangnya perlu menjadi penanda aras terbaik buat bola sepak Malaysia, dengan skuad muda negara akan bersaing sebagai 16 pasukan terbaik Asia.