Kelab Indonesia Lamar Ong Kim Swee

 

MASA depan Datuk Ong Kim Swee mula menjadi bualan apabila tercetus spekulasi yang mengaitkan jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu berada di dalam radar kelab-kelab Liga Super Indonesia (ISL).

Kelab-kelab yang menduduki kelompok lima terbaik di ISL termasuk yang berpangkalan di Jakarta dikhabarkan telah menghubungi Kim Swee, 46, yang bakal tamat kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Disember depan.

Nama Kim Swee bukan asing buat peminat-peminat Indonesia kerana pengendali kelahiran Melaka itu sentiasa menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan kebangsaan mereka termasuk menyingkirkan Garuda Muda pada aksi separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini.

Biarpun Kim Swee gagal memenangi pingat emas selepas tewas kepada Thailand 0-1 di Stadium Shah Alam Selasa lalu, khidmatnya tetap menjadi buruan kelab-kelab di Asia Tenggara termasuk Myanmar, Vietnam selain Indonesia.

Justeru, kelab-kelab ISL itu telah bersedia untuk menawarkan peluang buat Kim Swee bersama staf kejurulatihannya membuat penampilan di Indonesia pada musim ini.

Mengulas spekulasi tersebut, Kim Swee enggan mengesahkan atau menafikan laporan itu sebaliknya beliau memberitahu satu rundingan bersama FAM akan berlangsung minggu depan berhubung status kontraknya.





“Perjumpaan dengan pihak pengurusan akan berlaku dalam masa terdekat, kemungkinan besar minggu depan atau minggu kedua September nanti.

“Saya akan berbincang dengan pihak persatuan mengenai semua perkara termasuk perancangan pasukan B-22 dan kontrak. Apabila segalanya selesai, barulah kita akan ada perancangan untuk pasukan.

“Kalau mahu berbincang pada Oktober depan (berhubung status kontrak), saya fikir ia sudah terlambat tetapi saya percaya perkara ini akan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan masa depan skuad B-22 menimbulkan tanda tanya apabila mereka bakal menghadapi dua kejohanan penting iaitu Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China pada Januari tahun depan dan Sukan Asia Indonesia pada Ogos tahun depan.

Peminat-peminat bola sepak tempatan masih menanti perkhabaran status kontrak Kim Swee yang akan tamat kontrak Disember depan.

Malah, pengkritik juga menyarankan agar FAM segera menyelesaikan kedudukan Kim Swee sama ada mengekalkannya atau tidak kerana skuad B-22 negara harus bersiap seawal-awalnya bulan depan.

Ini kerana penyelesaian status jurulatih boleh memudahkan proses perancangan buat skuad remaja negara bagi mengharungi dua kejohanan penting itu yang bakal berlangsung pada Januari dan Ogos tahun depan.

Kim Swee telah berjaya mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) FAM iaitu layak secara automatik ke Piala AFC 2018 dan mara ke pentas final KL2017.

Apa yang pasti, peminat-peminat bola sepak Malaysia dilihat mahu Kim Swee meneruskan perjuangan bersama skuad B-22 selepas mempamerkan prestasi cemerlang setelah beliau dilantik sebagai pengganti kepada Frank Bernhardt pada Mac lalu.

kosmo