Lihat Peluang Beraksi Lebih Tinggi, Akhyar Rashid Sahut Cabaran AFF B18

Sepang: Belumpun sempat menghabiskan ‘lenguh’ selepas tugasan Sukan SEA 2017, khidmat penyerang muda Kedah, Akhyar Rashid terus ditagih skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara bagi mengharungi Kejuaraan Bawah 18 tahun (B-18) Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 di Yangon, Myanmar.

Selepas menarik minat pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee, kini pengendali skuad B-19, Bojan Hodak turut menyenaraikannya dalam 23 pemain yang berlepas ke Myanmar sekali gus menunjukkan betapa pemain itu berpotensi tinggi untuk menjadi bintang baru dalam arena bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, penyerang berusia 18 tahun itu tidak mahu menjadikan kepenatan sebagai alasan dengan dia mengaku sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik selepas sekadar menjadi pemain simpanan pada temasya dwitahunan itu.

“Penat memang ada namun itulah lumrah kerjaya saya sebagai pemain bola sepak. Lagipun, sasaran utama saya adalah Kejuaraan B-18 AFF 2017 ini kerana saya melihat peluang saya untuk beraksi adalah lebih tinggi dan saya sedia menyahut cabaran yang diberikan.







“Kini tiba masa untuk saya ‘pulun’ pada kejohanan ini. Tetapi peluang beraksi di Sukan SEA 2017 sememangnya satu pengalaman yang berharga dan ia akan membantu saya apabila mengharungi aksi di Myanmar nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Dalam masa sama, pemain yang diberi jolokan ‘Neymar Kedah’ itu tidak mahu tertekan dengan label ‘prospek panas’ yang diletakkan kepadanya memandangkan dia hanya mahu meletakkan sepenuh tumpuan pada aksi terbabit.

“Saya tahu saya berdepan dengan jangkaan tinggi penyokong namun saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya kerana takut akan mengganggu fokus sekali gus menjejaskan persembahan saya.

“Malah, ia juga bukan jaminan untuk saya beraksi dalam kesebelasan utama. Jadi, saya tetap perlu bersaing dengan rakan sepasukan yang lain kerana jika mereka terpilih, sudah tentu mereka ada sesuatu yang mampu menarik perhatian jurulatih,” katanya.