Bibi Ramjani Sedia Terajui Kafa

Image result for Bibi Ramjani Ilias Khan

KOTA BHARU 5 Sept. – Pemilihan kerusi No. 1 Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semakin panas apabila hari ini dua lagi individu tampil menawar diri termasuk seorang usahawan wanita terkenal dari ne­geri ini.

Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu, Bibi Ramjani Ilias Khan secara terbuka menyatakan kesediaan untuk mengisi kerusi ‘panas’ yang di­tinggalkan Tan Sri Annuar Musa tanpa mengenakan sebarang syarat, termasuk tidak akan menjadikan The Red Warriors (TRW) sebagai platform perniagaan.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Naib Presiden Kafa mengesahkan kesediaan bertanding jawatan ter­tinggi bola sepak Kelantan.

Menurut Bibi Ramjani, dia nekad untuk bertanding bagi membawa angin perubahan dalam badan bola sepak itu.

Pada awalnya, Bibi Ramjani hanya berhasrat untuk menjadi penaja Kelantan musim hadapan.

Bagaimanapun, selepas bertemu ramai orang, termasuk penyokong TRW, mereka memintanya melakukan perubahan.

Katanya, perkara pertama yang akan dilakukan andai dipilih sebagai Presiden Kafa ialah memastikan kewangan persatuan stabil, termasuk menyelesaikan hutang.

“Saya akan cuba dengan pe­ngalaman yang ada dalam bidang perniagaan untuk memastikan kewangan Kafa musim depan stabil dan menyelesaikan masalah hutang.

“Jadi soal pembayaram gaji yang tertunggak seperti musim ini tidak akan berlaku lagi,” katanya di sini hari ini.




Image result for Datuk Muhammad Nasir Hamzah
Datuk Muhammad Nasir Hamzah

Sebelum ini, Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman serta Presiden Kumpulan Secretleaf Internasional Sdn. Bhd., Amir Ramadzan Ibrahim turut menyatakan kesediaan untuk menerajui Kafa.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir berharap ahli gabungan Kafa dapat memberi sokongan penuh kepadanya untuk mengisi jawatan presiden.

Beliau berkata, sokongan penuh itu bagi menge­lak berlakunya pertembungan merebut jawatan, sekali gus menggugat keharmonian dalam badan induk itu.

“Lagipun sudah 10 tahun jawatan nombor satu KAFA tidak dipertandingkan, jadi eloklah tradisi tersebut diteruskan untuk penggal akan datang.

“Secara jujurnya saya sudah bersedia untuk menggalas jawatan sebagai Presiden Kafa dan akan menggunakan pengalaman sebagai naib presiden bagi memperkasakan lagi badan induk itu,” ujarnya

Kongres Kafa akan pada 17 September ini bagi memilih ahli jawatankuasa yang baharu bagi penggal 2017-2021.