Harimau Malaya Cemas Sebelum Raih Satu Mata

Malaysia berjaya mempertahankan kedudukan 1-1 apabila Hong Kong terlepas peluang sepakan penalti pada saat-saat akhir dalam perlawanan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Keputusan itu menyempitkan peluang Harimau Malaya untuk beraksi dalam pusingan akhir kejohanan berkenaan selepas kalah kepada Lubnan 2-1 pada Jun lalu.

Skuad bimbingan Nelo Vingada itu sepatutnya berada di depan pada minit ke-34 apabila Darren Lok yang berjaya melepaskan diri gagal mengecewakan penjaga gol lawan selepas rembatannya ditampan kemas.

Seminit selepas itu, giliran Amirulhadi Zainal membuat percubaan setelah menerima hantaran daripada Rizal Ghazali ketika dia berada di depan pintu gol tetapi sepakannya jauh melewati palang.

Tiga minit sebelum rehat, pemain tengah Hong Kong, Lam Ka Wai, mengambil sepakan percuma dengan baik, namun penjaga gol pasukan negara, Muhamad Hafizul Hakim Khairul Nizam, lebih bersedia untuk melayangkan badan bagi menepis percubaan berbahaya itu.

Malaysia menunjukkan perubahan pada awal separuh masa kedua dengan Syazwan Zainon melakukan hantaran lintang, malangnya Baddrol Bakhtiar lambat untuk menyentuh.

Bagaimanapun, Hong Kong mudah membuka jaringan pada minit ke-53 menerusi Alessandro Ferreira Leonardo apabila dia berjaya melepasi barisan pertahanan negara.

Malaysia mengimbangi gol itu tiga minit kemudian hasil sentuhan Syazwan yang berada di kedudukan baik untuk membuat tindakan susulan selepas rembatan Safiq Rahim ditampan pertahanan lawan.




 


Pada minit ke-89, Rizal mengalami kecederaan dan sejurus selepas menjejakkan kaki ke dalam padang semula, dia dilayangkan kad merah kerana masuk tanpa kebenaran pengadil.

Ketika perlawanan sudah melepasi tiga minit masa tambahan, Hong Kong memperoleh sepakan penalti tetapi Hafizul cemerlang menafikan sepakan yang diambil Alessandro. Percubaan kedua Alessandro selepas bola muntah turut gagal apabila sepakannya serong ke sebelah kanan.

Image result for malaysia 1-1 hongkong

Terdahulu, ketika keadaan kelam-kabut setelah pengadil memberikan penalti itu, Aidil Zafuan Abdul Radzak, menerima kad kuning kedua kerana membantah keputusan itu, sekaligus dihalau keluar padang.

Satu perkara yang harus dipelajari pemain negara ialah keputusan pengadil adalah muktamad.

“Pasukan ini mempunyai semangat juang yang tinggi dengan mencipta banyak peluang. Secara jujurnya keputusan seri tidak mencukupi berdasarkan permainan yang ditunjukkan.

“Kami bermain lebih baik dan membuat banyak peluang. Sudah tentu mereka (Hong Kong) juga pasukan yang baik dengan memiliki beberapa pemain naturalisasi.

“Tetapi kami lebih berhak untuk menang. Walaupun kadang-kadang kami tidak menang dalam situasi tertentu, saya percaya kami menang dengan mengetepikan tanggapan negatif,” kata Vingada.

Malaysia kekal berada di tangga tercorot dalam Kumpulan B dengan satu mata sementara Lubnan selesa di puncak carta, dan Korea Utara dan Hong Kong masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.

stadiumastro