Korea Selatan, Arab Saudi Sertai Jepun, Iran ke Piala Dunia

Arab Saudi, Korea sertai Jepun, Iran ke Piala Dunia

Arab Saudi dan Korea Selatan masing-masing mengesahkan kelayakan automatik selaku wakil Asia ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan manakala Syria dan Australia masih berpeluang turut serta menerusi saingan play-off.

Arab Saudi mengesahkan tempatnya hasil kemenangan 1-0 ke atas Jepun – yang telah mengesahkan kelayakannya lebih awal selaku juara Kumpulan B – di Riyadh, semalam.

Jaringan tunggal pemain gantian, Fahad Al Muwallad, di Stadium Raja Fahd sudah cukup buat Arab Saudi untuk menyertai Jepun manakala Australia, yang terdahulu mengalahkan Thailand 2-1, harus mengharapkan peluangnya menerusi saingan play-off.

Australia dijadualkan berdepan dengan Syria, dengan pemenang perlawanan play-off ini seterusnya akan berdepan pasukan di tangga keempat zon CONCACAF pada November nanti.

Sementara itu, Korea Selatan menempah tiketnya ke Russia hasil keputusan seri 0-0 dengan Uzbekistan di Tashkent dalam hanya perlawanan keduanya di bawah kendalian Shin Tae-yong yang menggantikan jurulatih, Uli Stielieke, yang dipecat.





Terdahulu, skuad Taeguk Warriors itu terlepas peluang untuk mengesahkan kemaraan lebih awal setelah terikat 0-0 dengan Iran, yang sudah mengesahkan kelayakan dari Kumpulan A.

Berikutan itu, satu saingan tiga penjuru tercetus untuk merebut satu slot antara Korea, Uzbekistan dan Syria.

Ia akan menjadi penampilan kesembilan berturut-turut buat Korea dalam kancah Piala Dunia.

Sementara itu, Syria menghidupkan peluangnya untuk layak ke Piala Dunia Russia berikutan keputusan seri 2-2 pada saat-saat akhir di Iran.

Tamer Mohamad memberikan Syria pendahuluan pada minit ke-13 sebelum gol penyamaan Sardar Azmoun sejurus sebelum rehat.

Mehdi Taremi meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-64 sehinggalah Omar Al Soma menyemarakkan kegembiraan pelawat dengan gol pada masa kecederaan.

Keputusan itu bermakna Syria, yang berkesudahan di tangga ketiga Kumpulan A di belakang Iran dan Korea, seterusnya akan berdepan Australia dalam perlawanan play-off bulan depan.

Pemenang perlawanan secara timbal balik itu kemudian akan berdepan pasukan di tangga keempat zon CONCACAF pada November, dengan pemenangnya turut layak ke Russia.

Stadiumastro