Venezuela Buat Argentina Tertekan

Venezuela sekat hajat Argentina

Hasrat skuad Argentina untuk menempatkan diri sekurang-kurangnya di tangga keempat ketika pusingan kelayakan berbaki dua perlawanan terpaksa dilupakan selepas diikat 1-1 oleh Venezuela di Buenos Aires, semalam.

Argentina kini di luar kelompok automatik ke Piala Dunia 2018 selepas sekadar menduduki tangga kelima zon Amerika Selatan di belakang Brazil (sudah layak), Uruguay, Colombia dan Peru.

Menentang Venezuela di laman sendiri, ternyata anak buah Jorge Sampaoli buntu mencari jaringan walaupun menurunkan rangkaian penyerang Lionel Messi, Paulo Dybala dan Mauro Icardi.




Venezuela mendahului 1-0 menerusi Jhon Murillo pada minit ke-50, namun gol sendiri oleh Rolf Feltscher lima minit kemudian memberikan kelegaan buat Argentina.

Kemasukan Dario Benedetto dan Javier Pastore gagal memberikan sebarang impak dan kedudukan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Argentina perlu memenangi baki pusingan kelayakan menentang Peru dan Ecuador bulan depan untuk memastikan tempat ke Piala Dunia 2018 terjamin atau Jorge Sampaoli bakal berdepan malapetaka terlepas slot di Russia.