Bantah Keputusan Pengadil Reaksi Normal Pemain – Vingada

 Ia reaksi normal -- Vingada 

Pengendali skuad bola sepak negara, Nelo Vingada, menyifatkan pemain negara telah menampilkan aksi yang lebih baik ketika 1-1 berdepan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia, malam tadi, berbanding tiga perlawanan terdahulu yang berakhir dengan kekalahan tipis.

Jurulatih dari Portugal itu enggan melemparkan kritikan terhadap pengadil perlawanan, Christopher Beath, berhubung dua layangan kad merah membabitkan Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Begitupun, dia mempertahankan pemainnya yang sukar mengawal emosi susulan keputusan yang dibuat Beath di Stadium Hang Jebat, Melaka itu.

“Lihat, kita sebagai manusia. Kalau tanpa reaksi, orang akan cakap,’oooo mereka sangat tenang sahaja’.

“Kalau perkara ini terjadi di Mesir dan Iran, pengadil berkenaan tidak akan dapat meninggalkan stadium tanpa masalah,” katanya.





Malaysia kini terperosok di tangga tercorot Kumpulan B dengan satu mata setelah tewas 2-1 kepada pendahulu, Lubnan, 13 Jun lalu.

Lubnan berada di puncak kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Selepas beberapa kali ditunda, akhirnya skuad negara akan menentang Korea Utara untuk perlawanan ketiga di Pyongyang, 5 Oktober ini.