Irfan Bakti Cadang Kim Swee Cuba Pengalaman Baru Di Liga Indonesia

Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim berpendapat sudah tiba masanya untuk pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee mencuba cabaran baru dengan berkelana di luar negara.

Beliau berkata, Kim Swee seharusnya mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya sebarang tawaran dari kelab luar negara termasuk Indonesia bagi mengembangkan kariernya.

“Beliau (Kim Swee) masih muda, usianya belum sampai 50 tahun, perlu keluar untuk mencari pengalaman. Kelab di sana (Indonesia) sebenarnya kelab yang kaya-kaya, jadi soal kewangan bukan masalah buat mereka.

“Kenapa perlu fikir tahap liga sana rendah berbanding liga kita? Setiap liga ada cabaran masing-masing. Dari segi kemeriahan, ISL lagi meriah berbanding Liga Malaysia (Liga-M). Jika benar ada kelab di sana berminat, beliau perlu beri pertimbangan,” kata Irfan ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini melaporkan mengenai kedudukan Kim Swee yang masih tidak menentu apabila kontraknya bakal berakhir Disember ini.





Bekas jurulatih kebangsaan berusia 46 tahun itu dikhabarkan sedang dirisik beberapa kelab di Jakarta selain Mitra Kukar FC yang berpangkalan di Timur Kalimantan.

‘Saham’ Kim Swee meningkat di negara jiran itu susulan kejayaannya membawa pasukan negara layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan dan meraih perak Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu.

Irfan, 66, yang kini mengendalikan skuad Liga Perdana Terengganu pernah melatih kelab Persipura Jayapura pada 2007 dan beliau faham dengan cabaran bakal dihadapi Kim Swee jika membuat keputusan menyertai kelab ISL.

“Indonesia negara besar, masalah utama adalah jarak perjalanan apabila bertandang ke tempat lawan. Jika beliau melatih kelab di Jakarta dan menentang kelab di Sulawesi contohnya, perjalanan agak lama dan apabila pergi ke sana, mereka akan bermain dua perlawanan baru pulang semula.

“Kalau soal penyokong fanatik, pada saya itu biasa dalam bola sepak. Kim Swee jurulatih berpengalaman, pada saya ia bukan masalah baginya. Saya juga ada menerima tawaran kelab di sana sebelum ini tapi disebabkan faktor usia, terpaksa menolak,” katanya.

HMetro