Gagal hadiri sesi latihan, Nor Hakim berdepan tindakan disiplin

Gagal hadiri sesi latihan, Nor Hakim berdepan tindakan disiplin

T-Team sedang mempertimbangkan tindakan disiplin untuk dikenakan ke atas pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan, termasuklah menamatkan kontrak pemain itu, akibat masalah disiplin.

Perkara itu disahkan pengurus pasukan, Datuk Mohammad Kamil Othman, yang turut mengakui ruang perbincangan kedua-dua pihak masih terbuka andai situasi itu berubah pada masa terdekat.

Menurutnya, penamatan kontrak adalah langkah terakhir bagi mengelakkan masalah itu terus menjadi ‘barah’ kepada skuad kendalian Rahmad Darmawan itu.




Pihak pengurusan gagal mengesan pemain berusia 26 tahun itu yang tidak menghadirkan diri ke sesi latihan sejak perlawanan terakhir Liga Super bertemu Melaka United, 5 Ogos lalu.

“Situasi ini memberi kesulitan kepada kami memandangkan hari ini (semalam) sudah 19 hari dia (Nor Hakim) tidak menyertai sesi latihan bersama rakan-sepasukan yang lain.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan keberadaannya kerana tidak dinafikan T-Team pincang tanpa kelibat Nor Hakim,” ujar Mohammad Kamil.

Malah, Mohammad Kamil juga melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan pemain itu memberi kerjasama selain tidak menunjukkan surat tunjuk sebab menghilangkan diri dari kem T-Team.





Namun katanya, pihak pengurusan masih menunggu alasan serta bukti kukuh dari pemain itu sendiri sebelum membuat keputusan muktamad.

Bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC dan Terengganu, Nor Hakim, menyarung jersi T-Team pada 2015 malah antara tonggak pasukan dengan lima gol dalam saingan liga setakat ini.

Namanya turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur, pada dua jendela perpindahan musim ini.

stadiumastro