Piala Malaysia : Selangor Tekad Lakar Kejutan Di Larkin

BIARPUN sudah layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2017, P. Maniam mahu Selangor memandang serius cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi terakhir Kumpulan D di Sta­dium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin esok.

Maniam turut memasang impian agar anak-anak buahnya melakar kejutan ke atas skuad Harimau Selatan itu dalam misi memburu status pendahulu kumpulan.

Pun begitu, beliau menyedari tugas tersebut bukan mudah kerana di atas kertas, JDT me­rupakan pasukan pilihan apatah lagi beraksi di gelanggang keramat mereka yang memiliki rekod sempurna buat skuad kendalian Ulisses Morais itu.

Sebagai rekod, kali terahir Selangor meraih kemenangan di Larkin ketika menewaskan JDT 2-1 pada aksi Piala FA, empat tahun lalu.




“Bukan senang mahu bermain di Larkin, semua pasukan mengetahui bahawa JDT cukup kebal di sana.

“Biarpun kami telah layak ke pusingan suku akhir, saya tetap mahukan para pemain beraksi sebaik mungkin. Sudah tentu kami dapat suntikan moral jika berjaya menewaskan mereka.

“Apa yang penting, kami telah layak ke pusingan seterusnya dan saya juga berharap pemain-pemain tidak ditimpa masalah kecederaan serius ketika menentang JDT nanti,” katanya kepada Kosmo!, semalam.





Selangor dan JDT menempah slot lapan pasukan terbaik dengan kelebihan 10 mata mengatasi Sarawak (empat mata) dan Terengganu (tiga mata).

Dalam perkembangan sama, Maniam dilihat telah bersedia untuk menurunkan beberapa pemain muda untuk memberikan pendedahan kepada mereka ketika bertemu Harimau Selatan nanti.

“Saya masih belum membuat keputusan akhir (kesebelasan utama) tetapi kami akan membawa pemain muda antaranya Faiz Sudin.

“Saya berharap kami dapat menemui rentak selepas berakhirnya perlawanan antarabangsa dan kita menentang JDT adalah satu perlawanan serius. Saya mahu kami dapat mencapai keputusan positif nanti,” katanya.

kosmo