AFF B-18: Malaysia B-19 Kekalkan Rekod Kemenangan
SKUAD bawah 19 tahun (B-19) negara cemerlang mengekalkan rekod bersih dalam Kejuaraan Bawah 18 tahun (B-18) Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 dengan menundukkan Kemboja 2-0 di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.
Kejayaan menyusul selepas meratah Laos 4-1 aksi pembukaan Kumpulan A serta menewaskan seteru seberang tambak, Singapura 3-1, pasukan B-18 kekal konsisten dengan kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste.
Malah pencapaian membuktikan anak buah Bojan Hodak tidak lagi menoleh belakang apabila ‘berselera’ menjadikan Kemboja mangsa keempat aksi saingan serantau itu.

Rekod bersih diraih pasti memberi amaran kepada gergasi Asia Tenggara, Thailand betapa Malaysia bersedia menundukkan lawan menjelang pertemuan dua pasukan itu di gelanggang sama, Selasa ini.
Malah, ia sudah pasti akan menjadi motivasi terbaik buat skuad muda negara mengekalkan prestasi konsisten bertemu skuad Gajah Perang itu selepas mengharungi empat aksi ‘pemanas badan’ setakat ini.
Dengan Thailand dilihat pencabar utama Malaysia di peringkat kumpulan, aksi itu ibarat sebagai ujian sebenar buat anak buah Hodak dengan tiket selaku juara Kumpulan A menjadi pertaruhan.
Hodak membuat beberapa rombakan terhadap kesebelasan utamanya namun mereka tidak berdepan masalah apabila tetap memperagakan aksi bertenaga dan hantaran pendek yang dilakukan kerap memerangkap pemain Kemboja.
Namun, Malaysia perlu menunggu sehingga m-22 untuk memecah kebuntuan menerusi penyudah pemain tengah pasukan Piala Belia PKNS FC, Shafizi Iqmal Md Khiruddin yang juga adalah gol sulungnya pada kejohanan itu.
Selepas empat perlawanan, Malaysia meraih 12 mata maksimum, meledak 12 gol dan hanya dibolosi dua gol menyaksikan mereka berjaya ‘menutup’ pintu gol daripada dibolosi dalam dua perlawanan berturut-turut bertemu Timor Leste dan Kemboja.