Harimau Malaya Ke Pyongyang

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) tetap dengan pendirian untuk meneruskan aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan Piala AFC 2019 antara Korea Utara dan Malaysia di Pyongyang pada 5 Oktober ini meskipun wujud kebimbingan kemungkinan tercetusnya perang di ibu negara republik itu.

Berdasarkan perkembangan terbaru di Korea Utara ketika ini, Pyongyang baru saja meraikan kejayaan melancarkan ujian nuklear keenam yang kemudiannya mencetuskan kecaman global terutamanya dari Amerika Syarikat yang melihat tindakan itu sebagai meminta-minta untuk berperang.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, pihaknya sentiasa peka dengan situasi yang berlaku di negara Asia Timur itu dan percaya keselamatan skuad kendalian Nelo Vingada sepanjang berada di sana pasti terjamin.




Malah, selepas ditunda sebanyak dua kali sebelum ini, aksi berkenaan tidak boleh ditunda lagi dengan Persatuan Bolasepak Korea Utara (PRKFA) sendiri enggan berganjak untuk mengadakan perlawanan itu di negara mereka dan bukannya di gelanggang berkecuali.

“Kita (AFC) baru saja habis perlawanan Korea Utara dan Lubnan tanpa apa-apa masalah keselamatan mahu pun pengelolaan perlawanan diadakan di Pyonyang (5 September lalu).

“Malah, pada hari Rabu ini (esok) salah sebuah kelab Korea Utara akan bermain dengan kelab Bengaluru dalam perlawanan AFC dan setakat ini tak ada apa-apa masalah.

“Jadi Jawatankuasa Pertandingan AFC buat masa ini tidak membuat keputusan yang lain daripada bermain di Pyongyang,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.





Pada Mei lalu, badan induk bola sepak Asia itu terpaksa menunda buat kali kedua pertemuan kedua-dua pasukan selepas melakukannya pada 28 Mac lalu susulan ketegangan hubungan diplomatik apabila abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Penangguhan itu adalah yang kedua selepas perlawanan asal dijadualkan pada 28 Mac lalu dipinda kepada 8 Jun berikutan masalah hubungan diplomatik kedua-dua negara yang tegang susulan kes pembunuhan itu.

Bimbangan dengan keselamatan pemain dan pegawai pasukan di sana, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengemukakan rayuan memohon agar AFC mengubah venue perlawanan itu ke gelanggang berkecuali.





Bagaimanapun, ianya ditolak PRKFA apabila memberi jaminan bahawa keselamatan pasukan kebangsaan akan terjamin sepanjang berada di negara itu.

Malaysia sebelum ini tewas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 menentang Hong Kong di Larkin, perlu meraih tiga mata penuh bertemu Korea Utara untuk memperbaiki kedudukan selepas sekadar berada di tangga tercorot dengan satu mata.

HMetro