United harapan kelab Inggeris juarai UCL?

United harapan kelab Inggeris juarai UCL?

Selepas menjulang gelaran Liga Europa (UEL) pada musim 2016-17 ketika menewaskan Ajax, Manchester United yang dibimbing oleh Jose Mourinho kembali ke beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

The Red Devils akan memulakan kempen UCL berdepan Basel, awal pagi esok (2.45 pagi).

Kelab-kelab Inggeris bergelut untuk mencipta kejayaan beraksi dalam kejohanan terbesar di Eropah
sejak beberapa musim yang lepas, dengan menyaksikan Chelsea sebagai pasukan dari England yang terakhir menjuarai gelaran itu pada 2012.

Sejak enam musim yang lalu, United, yang gagal mempamerkan persembahan yang cemerlang di peringkat domestik, sekadar membuat penampilan dalam saingan peringkat kumpulan UCL sebanyak dua kali.

United mempamerkan persembahan yang cemerlang sejak pembukaan musim 2017-18 yang agak
memberangsangkan setakat ini, meraih 10 mata selepas empat perlawanan, sekaligus menduduki tangga teratas liga.




Bagaimanapun, ia bukanlah jaminan bahawa United mampu mencipta kejayaan.

Dalam saingan Piala Super UEFA, United mengalami kesukaran untuk menghadapi asakan Real Madrid,
membuktikan bahawa kekurangan aksi berdepan pasukan dengan status elit adalah satu kelemahan buat mereka.

Selain Real, Barcelona, Bayern Munich, Juventus dan Atletico Madrid merupakan antara pasukan yang
menempah nama sebagai kuasa dalam kejohanan ini, ternyata halangan besar menanti United.

Tetapi, rekod musim kedua Mourinho adalah sesuatu yang boleh diambil serius. Ketika mengendalikan
Porto, Inter, Real Madrid dan kembali ke Chelsea buat kali kedua, beliau berjaya memenangi takhta liga
dan cuba memberikan saingan yang terbaik dalam saingan UCL.

Kemasukan Romelu Lukaku, Nemanja Matic, Victor Lindelof dan kembalinya Zlatan Ibrahimovic adalah
bukti beliau telah berusaha untuk memperkukuhkan lagi skuad ini.




Penganalisis bola sepak, Charlie Nicholas, memberikan pendapat menerusi laman web express.co.uk,
bahawa beliau mempercayai United adalah harapan terbaik kelab Inggeris untuk menamatkan dominasi
kelab Sepanyol untuk bergelar juara Eropah.

“Basel sentiasa memberikan masalah kepada kelab England, termasuk United, tetapi mereka tidak lagi
memiliki sentuhan berbisa seperti terdahulu. Basel hanya melakar satu kemenangan daripada empat
perlawanan,” katanya.

“Kelemahan United telah disaksikan apabila seri 2-2 dengan Stoke City, tetapi saya masih berpendapat
mereka adalah harapan terbaik untuk membawa pulang gelaran UCL kembali ke England.”

Sumber stadiumastro