UCL: Mourinho Bengang Aksi Manchester United Ala PlayStation
MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendakwa, barisan pemain-pemain cuba ‘membahayakan’ kemenangan pertama pada aksi Liga Juara-Juara ke atas Basel apabila bermain seolah-olah corak permainan bola sepak ala PlayStation.
Awal pagi semalam, United membuat kemunculan semula bermain pada kejohanan berprestij Eropah itu dengan merakamkan kemenangan 3-0 di Old Trafford.
Pun begitu, Mourinho dilihat bengang kerana langsung tidak tertarik dengan corak permainan anak-anak buahnya terutama pada separuh masa kedua permainan.
“Kami begitu stabil sebelum mendahului 2-0, kami bermain dengan penuh keyakinan tetapi selepas mendahului, ia mula berubah.
“Kami berhenti bermain dengan serius dan tidak membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Pengendali kelahiran Portugal itu menambah, para pemain The Red Devils seolah-olah mahu meletakkan diri mereka dalam bahaya.
“Sepatutnya United harus hormati lawan. Kami hilang posisi, rentak dan bola dalam situasi mudah dan pemain-pemain kami terlalu santai,” jelas Mourinho. – AGENSI