AFF B-18: Kejutan skuad remaja di Myanmar

Image may contain: 6 people, people playing sport, stadium and outdoor

SKUAD bawah 18 tahun (B-18) negara melakar kejutan apabila melangkah ke pentas final setelah mengecewakan pasukan tuan rumah, Myanmar pada Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 di Yangon malam tadi.

Skuad bimbingan Bojan Hodak mara ke perlawanan akhir setelah menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan.




Beraksi di depan ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Thuwunna menimbulkan rasa gemuruh skuad bimbingan Bojak Hodak, namun mereka tetap mampu mempamerkan aksi terbaik biarpun tidak diletakkan sebarang harapan pada kejohanan itu.

Hodak yang dihubungi Kosmo! memberitahu, beliau berasa ‘takut’ menyaksikan anak-anak buahnya bermain pertama kali di depan ramai penonton berbanding situasi mengambil sepakan penalti.


“Saya berasa ‘takut’ ketika mereka bermain pada waktu sebenar berbanding semasa mengambil sepakan penalti kerana ini adalah pertama kali mereka bermain di depan ribuan penonton tuan rumah,” katanya.

Begitupun, Hodak menarik nafas lega selepas skuad kendaliannya berjaya mengharungi ujian getir bertemu pasukan tuan rumah sekali gus menempah slot final buat kali pertama dalam sejarah skuad B-18.





Image may contain: 11 people, people smiling, outdoor“Semasa penentuan sepakan penalti, ketika itu saya sedar tuah atau kekuatan mental akan menjadi penentu kejayaan. Saya gembira kami berjaya layak ke pentas final.

“Seri tanpa jaringan adalah satu keputusan yang adil. Myanmar pasukan yang bagus dan kami juga melakukan beberapa kesilapan tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan para pemain,” katanya.

Skuad remaja negara bakal menentang Thailand yang menewaskan Indonesia menerusi sepakan penalti 3-2 dalam aksi final di venue sama esok.