Liverpool mampu menang semua lima perlawanan – Klopp

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, percaya pasukannya mampu memenangi kesemua lima aksi Liga Perdana Inggeris musim ini meskipun hanya menang dua daripadanya.

Terikat seri 1-1 berdepan Burnley di Anfield bermakna The Reds kini tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan menjelang aksi Piala Liga, Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah dalam minggu akan datang.




Gol Mohamed Salah pada minit ke-30 memastikan satu mata dikutip setelah Burnley terlebih awal membuka tirai jaringan menerusi Scott Arfield.

“Kami memiliki kualiti dan kini kami perlu mempamerkan kualiti itu dengan konsisten, itulah perancangan kami,” kata Klopp.

“Kami masih ada ruang untuk diperbaiki. Tetapi jika dinilai semula, kami mampu menang kesemua lima perlawanan.




“Kami tidak memenangi semua perlawanan dan satu daripadanya kami tewas dengan jurang yang besar.

“Ya, kami perlu memperbaiki corak permainan tetapi pada masa sama, banyak perkara positif berlaku. Buat masa ini, saya masih belum merasai senario positif itu kerana baru saja menamatkan aksi dengan 1-1.”

Liverpool bakal bertandang ke Stadium King Power, Selasa ini, bagi aksi Piala EFL sebelum berdepan lawan sama empat hari kemudian bagi saingan liga dan seterusnya Liga Juara-Juara Eropah berdepan Spartak Moscow.