AFF U18: 2 Gol Pantas Thailand Kecewakan Malaysia
KUALA LUMPUR 17 Sept. – Hasrat skuad negara untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 (B-18) AFC tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Thailand yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium Thuwunna, Yangon hari ini.
Malaysia meraih peluang terbaik untuk memecah kebuntuan seawal minit ke-6 selepas percubaan pemain lincah negara Akhyar Rashid terkena palang.
Thailand kemudian mengatur gerakan cantik dan hampir menembusi gawang Malaysia tiga minit kemudian namun percubaan Yuthapichai Lertlum hasil hantaran Peerapat Kaminthong sedikit tersasar.
Malaysia mendominasi permainan pada separuh masa pertama namun gagal mendapatkan gol.
Separuh masa kedua menyaksikan Thailand berjaya meraih dua gol dalam tempoh tiga minit bermula dengan jaringan Eakkanit Punya pada minit ke-48 yang menanduk masuk hantaran Naravit Kaosantia.
Kapten Kritsada Kaman meledak gol kedua pada minit ke-51 selepas menanduk masuk sepakan bebas Jaturapat Sattham setelah penjaga gol negara gagal menumbuk bola keluar bagi memastikan kemenangan Thailand.
Ketika perlawanan rancak berlangsung, Thailand terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain selepas Wudtichai Kumkeam dilayangkan kad merah pada minit ke-69.
Malaysia bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan yang dimiliki, termasuk mempersiakan sepakan penalti pada masa kecederaan apabila sepakan lemah Muhammad Zafuan Azeman tepat ke dakapan Kantaphat Manpati.