Kuota import ASEAN tak semudah disangka

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah mengakui pasukan Liga Malaysia (Liga M) perlu berbelanja besar jika mahu mendapatkan pemain import berkualiti dari negara jiran.

Selain faktor gaji agak mahal, kebanyakan kelab utama di rantau ini sukar untuk melepaskan pemain ke pasukan lain seperti yang berlaku negara ini.

“Kalau mahu mendapatkan pemain import dari Thailand misalnya, bukan mudah kerana gaji pemain di Thailand agak tinggi. Bagi pemain yang bagus di sana, mereka menerima gaji anggaran AS$10,000 (RM42,000) sebulan atau lebih. Jadi jika FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) menetapkan kriteria pemain import ASEAN yang ada nama dan memiliki 30 cap di peringkat antarabangsa, ia bukan mudah untuk pasukan tempatan.




“Seperti pemain dari Indonesia, Vietnam dan Myanmar, kebanyakan pasukan atau kelab sukar melepaskan pemain terutama yang masih memiliki kontrak. Sama seperti pasukan di Liga Malaysia, mereka juga tak mahu melepaskan pemain pergi menyertai kelab luar,” katanya.

FMLLP sebelum ini mencadangkan untuk menambah kuota lima pemain import musim depan dengan menetapkan syarat seorang pemain dari Asia Tenggara.

Effendi yang berpengalaman luas sebagai ejen pemain bagaimanapun berkata, pasukan Liga M mungkin lebih mudah untuk mendapatkan pemain dari Singapura dan Filipina.





“Pemain import dari Singapura mungkin boleh kerana sekarang saya sudah mempunyai senarai enam pemain dari sana (mahu bermain di luar). Begitu juga dengan Filipina kerana gaji mereka tidak terlalu tinggi.

“Pemain dari Indonesia juga mungkin berminat ke Malaysia kerana keselesaan mereka untuk tinggal di sini. Tapi apa pun, semua pasukan ada pilihan untuk mencari pemain import yang sesuai, apa yang penting adalah berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

“Tak guna ambil pemain import sekadar untuk melengkapkan kuota tapi akhirnya menyusahkan pasukan dari segi kewangan,” katanya. – BH