Liga Europa: Walcott korban hatrik demi Giroud

OLIVIER GIROUD (kiri) meraikan jaringan keempat Arsenal bersama

LONDON 29 Sept. – Theo Walcott mengakui, dia sanggup tidak menyempurnakan hatrik demi membantu rakan sepasukannya, Olivier Giroud meledak gol ke-100 bersama Arsenal ketika Gunners menumpaskan BATE Borisov 4-2 dalam saingan Liga Europa di Borisov Arena, Barysaw hari ini.

Pemain sayap England itu menjaringkan dua gol pertama ketika Gunners mendahului 3-0 dalam tempoh 25 minit, dan dia berpeluang untuk melengkapkan hatrik selepas Arsenal dihadiahkan sepakan penalti susulan Shkodran Mustafi dijatuhkan dalam kawasan penalti.




Begitupun, dia membenarkan Giroud mengambil tendangan dan penyerang Perancis itu berjaya meledak gol ke-100 dalam 238 penampilan, sekali gus menjadikannya pemain Gunners ke-19 berjaya mencapai angka menakjubkan tersebut.

Walcott sebelum ini pernah beberapa kali mengecewakan Giroud dengan mengambil sendiri sepakan, tetapi kali ini dia gembira untuk mengalah dan membenarkan rakannya itu menyempurnakan penalti.

“Sudah tentu, itu adalah peluang terbaik buat saya untuk melakukan hatrik menerusi sepakan penalti, tetapi menyedari Olivier sudah memiliki 99 gol, maka saya rasa ini adalah detik terbaik dalam kariernya untuk menjaringkan gol ke-100 buat Arsenal.





“Saya sendiri sudah mencapai rekod itu, jadi saya tahu apa perasaannya. Sebab itulah, dia mengambil penalti. Ya, saya ada peluang tetapi anda tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri,” kata Walcott kepada BT Sport.

Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut dilakar Arsenal dalam peringkat kumpulan Liga Europa, sekali gus meletakkan mereka sebagai pendahulu Kumpulan H.

Walcott meletakkan Arsenal mendahului 2-0 pada minit kesembilan dan 22, sebelum Rob Holding menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-25.

Namun, BATE enggan menyerah mudah apabila merapatkan kedudukan menerusi Mirko Ivanic dan Mikhail Gordeychuk. – AGENSI