Sergio Aguero Retak Tulang Rusuk Dalam Kemalangan Kereta

LONDON 29 Sept. – Penyerang Manchester City, Sergio Aguero dilaporkan mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan kereta di Amsterdam, lapor media Argentina hari ini.

Menurut akhbar Argentina, Dirio Ole, Aguero berada di Belanda untuk menonton konsert penyanyi Colombia, Maluma dan menaiki teksi yang kemudian hilang kawalan lalu merempuh tiang.

Aguero, 29, dikatakan memakai tali pinggang keledar tetapi impak kemalangan menyebabkan dia retak tulang rusuk dan mungkin terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam hingga lapan minggu.




City dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan, penyerang Argentina itu terlibat dalam kemalangan dan keadaannya akan dipantau apabila dia kembali ke England, pagi nanti.

Bekas kelab Aguero di Argentina, Independiente pula memuat naik dalam Twitter: “Semoga diberi kekuatan dan cepat sembuh. Semua warga Independiente bersama anda dalam detik sukar ini”.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, City akan menentang Chelsea di Stamford Bridge, esok dan Aguero sepatutnya menjadi tonggak utama dalam perlawanan itu.





Dia bukan sahaja bakal terlepas perlawanan penting menentang Chelsea, malah tidak dapat menyarung jersi Argentina dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia 2018 minggu depan.

Perkembangan terbaharu ini pasti memberi tamparan hebat buat City yang sudahpun kehilangan tonggak pertahanan, Benjamin Mendy sehingga habis musim akibat kecederaan ligamen lutut. – AGENSI