Eden Hazard mudahkan tugas saya – Morata

Image result for Alvaro Morata hazard

LONDON – Penyerang Chelsea, Alvaro Morata mengakui sangat selesa apabila digandingkan bersama Eden Hazard dan bersedia untuk menundukkan Manchester City menjelang aksi Liga Perdana England awal pagi esok.

Menurut Morata, kehadiran Hazard yang baru pulih daripada kecederaan telah memberi kelebihan kepadanya untuk menjaringkan gol.




“Tidak sukar untuk beraksi bersama pemain seperti Hazard kerana dia adalah salah seorang daripada tiga pemain paling berbakat di dunia. Kehadiran Hazard akan memudahkan saya menjaringkan gol kerana dia bijak menggunakan ruang untuk melakukan umpanan bola kepada saya.

“Pada perlawanan menentang City nanti, ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Tetapi kami perlu mendapatkan tiga mata sebelum aksi liga dihentikan bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa,” katanya.

Sebagai rekod, bekas penyerang Real Madrid tersebut sudah berjaya meledakkan tujuh gol daripada lapan penampilan sejak berhijrah ke Stamford Bridge.




Pada pentas Liga Juara-Juara Khamis lalu, Chelsea berjaya meraih tiga mata penuh sewaktu mengatasi Atletico Madrid 2-1 di Madrid. Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Antonio Conte berjaya menduduki tangga teratas Kumpulan C dengan enam mata.

Sementara itu, Hazard berkata, kemenangan sewaktu berdepan Atletico itu merupakan kejayaan terbaik sejak lima musim lalu.

“Ia adalah aksi terbaik kami di pentas Eropah sejak saya menyertai Chelsea pada 2012. Kami mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, namun masih tetap berpuas hati dengan kemenangan 2-1,” ujarnya. – AGENSI