PBSNT Hantar Permohon Lesen Kelab, KLFA 19 Peratus Belum Selesai

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan sudah menghantar permohonan mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Ismail, berkata pihaknya kini hanya menunggu keputusan sama ada permohonan diterima atau sebaliknya.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklum balas daripada badan induk bola sepak negara itu.

“PBSNT sudah memohon lesen kelab daripada FAM sebelum ini mengikut apa yang dikehendaki dan setakat ini kami belum menerima sebarang keputusan sama ada layak atau tidak.




“Kami (PBSNT) akan memberi kerjasama bagi mendapatkan lesen kelab untuk membolehkan Terengganu layak bermain dalam Liga Super musim depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Hanya 19 peratus memisahkan peluang Kuala Lumpur untuk memperoleh lesen kelab daripada Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super, musim depan.

Setakat ini, hanya dua daripada enam aspek masih belum dipenuhi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), iaitu infrastruktur dan kesukanan.

Menurut Setiausaha KLFA, Nokman Mustaffa, secara keseluruhannya mereka sudah pun memenuhi 81 peratus kriteria yang ditetapkan.

Halangan utama Kuala Lumpur ketika ini ialah kerja menaik taraf Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras yang masih belum selesai dan dijangka akan berlarutan sehingga penghujung bulan depan.

“Masih ada sedikit lagi aspek kesukanan yang perlu dipenuhi.





“Kami masih perlu mengkaji program akar umbi serta sekolah-sekolah yang akan terlibat nanti,” katanya.

Skuad The City Boys itu mengesahkan kedudukan di tangga kedua teratas, Selasa lalu, selepas menewaskan Sabah 2-0 dan yakin mampu mendapatkan lesen kelab daripada FAM selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Jelas Nokman, mereka berharap pihak FAM mampu memberikan sedikit kelonggaran dalam soal ini jika berlaku kelewatan di pihak KLFA.

“Kami cuma minta FMLLP memberi peluang.

“Ada sesetengah perkara tidak boleh diambil mudah kerana ia membabitkan hak orang lain (stadium).

“Aspek kemudahan yang menyekat kami untuk memenuhi 100 peratus kriteria itu,” katanya lagi.

Sebelum ini, dilaporkan pasukan Kuala Lumpur (KL) dan Terengganu perlu mendapatkan lesen kelab daripada FAM terlebih dulu sebelum boleh beraksi dalam Liga Super musim depan.

Kuala Lumpur dan Terengganu mengesahkan tempat untuk bersaing dalam Liga Super musim depan selepas mengungguli dua tangga teratas Liga Perdana dengan saingan berbaki satu perlawanan musim ini.