Nelo Vingada Cari Pengganti Hazwan Bakri

PETALING JAYA 5 Okt. – Nelo Vingada masih berharap skuad negara mampu menurunkan penyerang tunggal atau dua penyerang selepas kehilangan Ahmad Hazwan Bakri yang cedera apabila menghadapi Hong Kong dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2019 Selasa depan seperti yang dipetik Utusan.

Vingada, yang digelar Profesor, berkata terdapat hingga enam pilihan pemain dalam kem latihan pusat yang boleh ditempatkannya di barisan depan antaranya Darren Lok, Safawi Rashid, Wan Zack Haikal Wan Noor, Shahrel Fikri Fauzi dan Syamer Kutty Abba.

“Ramai pemain tengah yang boleh menggantikan Hazwan walaupun saya kurang gemar meletakkan pemain di posisi yang bukan kebiasaannya. Kami masih ada pilihan untuk bermain dengan seorang penyerang sahaja atau secara lebih terbuka, dua penyerang.



“Yang pasti turun dengan formasi tanpa penyerang (4-6-0 ala tiki-taka pasukan Sepanyol) bukanlah pilihan saya,” kata jurulatih kelahiran Portugal itu ketika di temui sewaktu sesi latihan hari kedua pasukan di Wisma FAM di sini hari ini.

Penyerang Johor Darul Ta’zim, Hazwan cedera pangkal paha dan Vingada juga perlu menunggu perkembangan terbaharu pemain Pahang, Nor Azam Azih yang meminta pelepasan kerana kakaknya dimasukkan ke hospital.

Malaysia yang menghuni anak tangga corot Kumpulan B peringkat kelayakan selepas ditumpaskan Lebanon 2-1 di Johor Bahru (13 Jun) dan mengikat Hong Kong 1-1 (di Melaka, 5 September) akan bertandang ke Stadium Hong Kong dengan misi memburu kemenangan sulung.

Perlawanan dengan Korea Utara yang mulanya dijadualkan hari ini di Stadim Kim Il Sung, Pyongyang terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu yang akan diputuskan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Jurulatih dari Portugal, Vingada berkata dia boleh menasihatkan pemain supaya sentiasa mengawal perasaan dan menghormati keputusan pengadil bagi mengelakkan insiden yang menyebabkan Aidil Zafuan Radzak dan Rizal Ghazali dibuang padang di Stadium Hang Jebat, Me­laka ketika bertemu Hong Kong.





“Namun tiada siapa yang boleh meramalkan apa akan berlaku. Tekanan begitu tinggi dalam perlawanan sebegini. Pemain juga manusia biasa dan ada pemain yang berperwatakan berbeza sekalipun kami boleh cuba mengingatkan mereka,” katanya.

Kapten skuad negara Safiq Rahim berkata, yang penting ialah persiapan pasukan negara sekarang dijalankan dengan memikirkan hanya yang positif sambil mengutip pengajaran di Melaka supaya tidak diulangi di Hong Kong pula.

“Siapa sahaja dipilih jurulatih, perlu balas kepercayaannya demi memburu mata maksimum. Sama ada lawan ada ramai pemain naturalisasi, biarlah kita juga gunakan pengalaman bersaing dengan pemain asing dalam Liga Malaysia sebagai bekalan menghadapi mereka,” katanya.

Darren pula berkata, pasukannya memiliki banyak peluang yang bagus untuk menghasilkan jaringan di Melaka lalu tetapi tidak mendapat keputusan perlawanan yang dikehendaki. – Utusan