Harimau Malaya Perlu Pemain Naturalisasi Gred A

Image result for kiko insa harimau

Sudah sampai masanya Harimau Malaya membuka pintu pemain naturalisasi bergred A untuk menganggotai skuad utama negara. Harimau Malaya tidak memerlukan khidmat naturalisasi yang ramai untuk tujuan ini tetapi mereka diperlukan untuk menutup ruang ketidakmampuan pemain tempatan menyelesaikan tugasan mereka diperingkat Asian sekurang-kurangnya.

Saranan saya Harimau Malaya perlu mendapatkan seorang pemain pertahanan yg betubuh tegap dan tinggi serta seorang penyerang yang kuat dan laju untuk menggempur kubu lawan. Untuk posisi-posisi lain saya masih merasakan kudrat dan keringat pemain tempatan mampu ditagih. Harimau Malaya tak perlu merubah keseluruhan skuad seperti HK yg memasukkan sebanyak mungkin naturalisasi sehinggakan pemain yang telah lanjut usia turut dibariskan.



Saya merasakan kewajaran berbuat sedemikian kerana kita telah membentuk satu pemikiran dikalangan pemain-pemain Malaysia sejak zaman bola sepak 90an sehingga sekarang yang mana penggempur utama pasukan bolasepak negeri-negeri mestilah pemain import. Begitu juga dengan department pertahanan negara, seorang awang import bertubuh sasa dan tinggi akan diambil untuk menyelesaikan masalah pertahanan untuk hampir setiap pasukan. Terlalu banyak pasangan penyerang import dan tempatan telah menghiasi bolasepak negara dan hal yang sama berlaku dibarisan pertahanan. Dengan mudah saya boleh namakan pasangan pasangan penyerang dan pertahanan tersebut.

Di sini, pemain penyerang tempatan telah dilatih untuk bermain dengan pasangan import yang akan menjalankan tugas-tugas fizikal keatas pertahanan lawan. Dalam setiap pasukan negeri dan kelab, pemain importlah yang akan memecah masuk kekubu lawan dengan menggunakan fizikal mereka sementara pemain tempatan samada akan berada di sedikit luar medan serangan ataupun berada lebih atas untuk mendapatkan gol tanpa perlu beraksi fizikal.

Apabila beraksi di pentas antarabangsa, ternyata penyerang kita kaku dan lembik apabila diasak keras oleh pertahanan lawan yang berfizikal lebih besar. Penyerang ketika ini tidak mempunyai kekuatan fizikal sepertimana arwah Mokhtar Dahari mahupun Zainal Abidin Hassan. Mereka sentiasa mengharapkan bantuan dari pasangan import bukan pasangan tempatan. Motivasi mereka akan berkurangan apabila pasangan mereka cedera atau digantung perlawanan. Ia berlaku dalam liga kita.

Hal yang sama berlaku dibahagian pertahanan. Pemain pertahanan tempatan akan dibantu oleh awang import berbadan sasa dan tinggi untuk mengatasi permainan fizikal pasukan lawan. Bola-bola tinggi akan ditangani oleh awang import. Pertahanan tempatan akan mengambil tugas bola kedua ataupun tugas-tugas pintasan.




Saya yakin apabila pertahanan tempatan dipasangkan dengan seorang pemain naturalisasi, situasi kubu pertahanan negara akan sedikit tenteram. Sekali lagi saya tegaskan liga kita telah melatih pemain tempatan perlu dipasangkan dengan tenaga import, dan apabila beraksi di peringkat antarabangsa keterbatasan fizikal pemain kita dihukum mudah oleh pasukan lawan.

Namun begitu, pengambilan awang import untuk Harimau Malaya ini janganlah dibuat dengan tidak mengambil kira kualiti mereka. Untuk jangkamasa terdekat ini mungkin beberapa nama pemain pertahanan atau penyerang dalam liga kita boleh di senarai pendek. Tetapi untuk kempen Piala Dunia atau Piala Asia yg seterusnya FAM perlu mencari naturalisasi muda yang kuat dan berkemampuan untuk beraksi sekurang-kurangnya 5 tahun dalam pasukan kebangsaan.

Saya sedar cara ini pernah dilakukan oleh negara jiran kita tetapi mereka gagal. Sebaliknya pemain 100% tempatan negara mampu menundukkan pasukan mereka, dan kalaulah kita punya naturalisasi yang baik dan berkualiti bukankah kita sudah boleh sama-sama memanjat tembok antarabangsa yang lebih tinggi sebagaimana yang sedang dinikmati Thailand?

Penulis Artikel: Muzaimi Izambri Bin Mustafa

Anda mahu pandangan anda disiarkan? Hantar artikel anda ke admin@arenabolasepak.my