Kering Idea, Vingada Tidak Sebagus Reputasi

Pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada dihujani kritikan hebat setelah kekalahan memalukan 0-2 di tangan Hong Kong dalam aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia pada Selasa yang sekaligus hampir menutup terus peluang untuk layak beraksi di pusingan akhir.

Malah kekalahan itu juga melebarkan kemarau kemenangan Vingada bersama pasukan negara kepada enam perlawanan – seri dua dan tewas empat – sejak mengambil alih tugas dari Dato’ Ong Kim Swee pada Mei lalu.

Persiapan terganggu akibat penggantungan dan kecederaan pemain tonggak sekali lagi menjadi alasan diberikan Vingada yang membariskan skuad tanpa penyerang dan kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah kehilangan Safiq Rahim di penghujung separuh masa pertama dalam aksi di Kowloon itu.

“Saya bukan mahu memberi alasan tetapi jika dapat membariskan skuad terbaik, saya yakin kita boleh raih keputusan positif. Semua pihak boleh bercakap macam-macam mengenai saya dan pasukan, tetapi kami semua turut kecewa dengan kekalahan ini.




“Peminat tidak boleh mengharapkan keajaiban serta-merta daripada saya dan pemain yang kita ada ini sedang melalui proses pembaikkan di mana lebih ramai pemain muda diberi peluang. Saya tidak akan berputus asa dan optimis kita akan tampil lebih mantap dalam beberapa bulan akan datang,” kata pengendali berusia 64 tahun itu.

Memang diakui, Vingada membawa skuad bagi aksi ini tanpa kelibat Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abd Radzak (penggantungan) serta penyerang utama Ahmad Hazwan Bakri dan penyerang kelab Liga Premier, Ahmad Shahrel Fikri gara-gara kecederaan.

Sementara Darren Lok pula mengalami kecederaan dua hari sebelum perlawanan.

Begitupun, digelar The Professor dan berpengalaman membawa Arab Saudi mara ke Piala Dunia 1998, tidakkah Vingada mempunyai pelan B dan tahu bagaimana untuk menangani situasi kritikal ini pada ketika dia mempunyai masa lima hari untuk membuat percaturan.

Vingada juga bukanlah tidak mempunyai pilihan pemain sebagai pengganti segera. Dia mempunyai masa untuk memanggil pemain dari skuad B-22 – sama ada ianya Syafiq Ahmad, N.Thanabalan mahupun Jafri Firdaus Chew. Jika enam pemain dari skuad pemenang pingat perak Sukan SEA boleh diberi peluang termasuklah Syamer Kutty Abba, kenapa tidak pemain lain?

Perkara pokok ketika ini, bukanlah isu ketiadaan pemain tonggak tetapi ianya mengenai Vingada yang ibarat kering idea dan tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan pemain yang dibawanya.

Taktikal dan strategi kurang ampuh menjadikan pasukan bermain seperti tidak ada arah tuju dan tanpa visi yang jelas. Tiada keghairahan mahupun kesungguhan ditunjukkan para pemain dalam perlawanan yang diklasifikasikan sebagai wajib menang itu.

Berterusan menyandarkan harapan kepada Baddrol Bakhtiar untuk mencipta sesuatu pada ketika pemain itu tidak efektif sejak beberapa aksi antarabangsa yang lalu dan memasukkan Wan Zack Haikal yang sedang memuncak prestasinya dalam liga tempatan hanya pada minit ke-80 nyata bukan satu tindakan yang bijak.




Alasan tidak dapat menyaingi Hong Kong kerana bermain dengan 10 pemain juga tidak boleh diterima apatah lagi dalam tempoh 40 minit bermain 11 lawan 11, pasukan negara tetap gagal menterjemahkan permainan berkualiti sebaliknya membenarkan Hong Kong menguasai permainan memperbudakkan barisan pemain kita.

Kekalahan terbaru ini meletakkan Harimau Malaya di kedudukan yang begitu sukar apatah lagi tiga perlawanan berikutnya adalah dua aksi menentang Korea Utara serta Lubnan di gelanggang lawan.

Jika begini kualiti yang dipersembahkan, maka tiada harapan lagi boleh diletakkan dan awal-awal lagi kita sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia. Apa yang boleh dibuat, bubarkan skuad senior, fokus membangunkan semula pasukan dari peringkat umur, peringkat remaja dengan meletakkan sasaran lima atau lapan tahun untuk menuai hasil. – Sports247/MUHAMMAD AIMAN