Piala Malaysia: Felda buru kelebihan gol, Kedah bersemangat

Image result for felda vs kedah

MARAN 14 Okt. – Pada ketika Felda United turun dengan misi mem­buru sebanyak mungkin gol dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia esok, lawan mereka Kedah bukan sahaja yakin untuk mara ke final, malah optimis mampu mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu.

Skuad The Fighters perlu mencari bekalan selesa apabila ber­aksi di depan penyokong sendiri di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka bagi meringankan sedikit tugas apabila bertandang ke Alor Setar dalam aksi kedua, 21 Oktober depan.

Kemenangan 3-1 ke atas Kedah pada pertemuan terakhir dalam Liga Super 20 September lalu meningkatkan keyakinan anak-anak buah B. Sathianathan untuk mengulangi kejayaan itu.




Namun Sathianathan mene­gaskan, keputusan tersebut tidak boleh menjadi kayu pengukur kerana pengendali Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusof ketika itu merehatkan ramai tonggak utamanya.

“Keputusan perlawanan lalu tidak boleh diambil kira kerana banyak faktor yang berubah dan Kedah pasti akan menurunkan pasukan terkuat untuk mendapatkan kemenangan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Sathianathan, Kedah adalah pasukan yang kuat dan pemain The Fighters perlu lebih berhati-hati terutama dalam mena­ngani serangan balas lawan yang mampu memerangkap mereka.





Bekas jurulatih kebangsaan itu juga memberitahu, semua pemainnya berada dalam prestasi terbaik kecuali Stuart James Wilson yang dibelenggu kecederaan dan kemungkinan besar tidak dapat diturunkan.

Sementara itu, Kedah melaungkan keyakinan untuk membawa pulang Piala Malaysia kali ini dan bertandang ke Jengka bersama semangat yang luar bia­sa.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pemain Lang Merah baru-baru, jelas sekali sema­ngat mereka untuk mempertahankan kejuaraan amat tinggi.

“Kita menaruh kepercayaan kepada Mohd. Nidzam dan pasukannya untuk mara ke perlawanan akhir dan seterusnya bawa balik Piala Malaysia.

“Kita tengok dalam perlawanan dan latihan sebelum ini pemain kita mempunyai semangat luar biasa untuk ke final,” katanya.