VIDEO Gol lewat minit Ronaldo selamatkan Real Madrid

CRISTIANO RONALDO melepaskan rembatan ketika membantu Real Madrid

MADRID 15 Okt. – Cristiano Ronaldo menamatkan kemarau gol dalam saingan La Liga apabila jaringannya pada lewat permainan membantu Real Madrid menumpaskan pasukan jiran, Getafe 2-1 di depan penyokong lawan malam ini.

Penyerang Portugal itu mengharungi sebahagian besar permainan dengan mengecewakan apabila terlepas menyempurnakan beberapa percubaan, termasuk di depan pintu gol yang terbuka, sebelum melakukan voli cantik pada minit ke-85 untuk jaringan pertamanya dalam kempen Liga Sepanyol musim ini.

Seandainya bukan kerana jaringan Ronaldo, Real pasti menamatkan permainan di Coliseum Alfonso Perez dengan keputusan seri selepas Jorge Molina berjaya menyamakan kedudukan buat Getafe pada minit ke-56.




Terdahulu, penyerang Perancis, Karim Benzema meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-39.

Dalam satu lagi perlawanan, jaringan tunggal Mikel Vesga pada minit ke-43 memastikan Athletic Bilbao menang tipis 1-0 ke atas Sevilla. – AGENSI