VIDEO Penyokong Perak-JDT bertempur Selepas Selesai Perlawanan
IPOH: Kekecohan berlaku selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Perak di sini malam ini.
Difahamkan, kekecohan dipercayai bermula sebelum tamat perlawanan yang menyaksikan kedua-dua penyokong mula membaling botol ke padang.
Ada antara individu yang tidak dikenal pasti mengeruhkan lagi keadaan apabila membaling mercun ke arah sekumpulan penonton.

Seorang lelaki dipercayai penyokong cedera di kepala dan perut akibat terkena mercun berkenaan dan diberikan rawatan awal Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat menahan beberapa individu bagi mengawal keadaan.
Sementara itu, enam bas yang membawa penyokong JDT diarahkan beredar dari kawasan stadium untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.