Brendan Gan Tidak Sabar Mahu Beraksi Semula

Image may contain: 1 person, outdoor, nature and water

Ternyata kecederaan teruk kali kedua dalam tempoh kurang dua tahun itu langsung tidak melunturkan semangatnya untuk bangkit meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Brendan, 29, berkata dia percaya apa yang dilalui selepas pulih daripada kecederaan pertama ACL pada 2015 boleh membantunya untuk bangkit buat kali kedua.




“Saya sudah pulih sepenuhnya dan saya masih ada beberapa bulan untuk membuat persiapan sebelum kempen baru Liga Malaysia bermula tahun depan. Saya berharap dapat kembali beraksi selepas ini dan saya percaya ia bukan satu masalah buat saya.

“Sebelum ini saya mengalami kecederaan yang sama dan apabila pulih, saya mengharungi musim yang baik sehingga dapat mewakili skuad kebangsaan, jadi kenapa saya perlu takut untuk beraksi semula,” kata bekas pemain Kelantan itu.

Brendan pemain kacukan kelahiran Australia yang mendapat kerakyatan Malaysia pada 2013 mendapat kecederaan ACL ketika beraksi bersama Harimau Malaysia menentang Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Solo yang menyaksikan mereka tewas 0-3.





Kecederaan itu bukan hanya menyebabkan dia terlepas aksi bersama Kelantan dalam liga domestik, malah terpaksa melupakan niatnya mewakili skuad kebangsaan dalam Piala AFF di Yangon Myanmar tahun lalu.

Brendan yang beraksi di posisi tengah mengakui masih dalam perbincangan dengan beberapa kelab tempatan bagi musim depan.

“Saya masih mencari pasukan dan mahu beraksi di Malaysia. Buat masa ini saya ingin memberi fokus untuk kembali beraksi dengan kelab sebelum menyarung jersi kebangsaan,” katanya. – BH