VIDEO Tragedi Larkin – Gol penyamaan Perak patut dibatalkan?

Ofsaid ke tak ofsaid? Gol ke tak gol?

Ini kali kedua Perak menjadi ‘mangsa’ insiden kontroversi membabitkan situasi ofsaid musim ini!

Insiden pertama berlaku ketika perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Takzim di Stadium Larkin 26 Julai lalu apabila gol Mohamed Ghaddar disahkan sebagai jaringan walaupun penyerang JDT itu berada di kedudukan ofsaid.

Dalam perlawanan itu, Perak tewas 2-1 setelah mendahului hasil jaringan sepakan percuma Hafiz Kamal.

Dan semalam di tempat yang sama dan lawan yang sama, The Bos Gaurus sekali lagi dilanda malang apabila jaringan semangat mereka dibatalkan oleh pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajudin.




Ia membabitkan pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Ipoh 15 Oktober lalu.

Insiden kontroversi itu tercetus sekitar minit ke-60 perlawanan selepas beberapa minit tuan rumah mendahului hasil jaringan Gonzalo Cabrera.

Berpunca hantaran penyerang import Perak Gilmar Da Silva, pertahanan JDT S. Kunanlan tertampan masuk bola ke gawang sendiri, namun jaringan itu tidak dikira selepas pengadil mendapati seorang lagi penyerang Perak iaitu Zaquan Adha Abdul Radzak berada dalam kedudukan ofsaid.

Insiden itu mencetuskan polemik di kalangan peminat bola sepak tanahair yang kemudiannya tampil dengan hujah dan teori masing-masing untuk mendakwa gol itu sah atau sebaliknya.

Nampak begitu mudah untuk ditafsirkan jaringan itu sah kerana tiada sentuhan daripada Zaquan tetapi sebenarnya ia cukup teknikal untuk dibahaskan.





Tidak sampai 24 jam selepas insiden itu berlaku, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang juga bekas pengadil FIFA tampil memberi penjelasan lanjut kepada penulis.

Subkhiddin yang juga adalah bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu turut menyifatkan kesilapan yang dilakukan oleh pengadil dan pembantu pengadil kedua berhubung insiden itu sebagai satu keputusan yang sungguh berat untuk diterima memandangkan ia membabitkan perlawanan berskala besar.

“Pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) (S Kunanlan) mendapat tekanan daripada perasaannya sendiri untuk menghalang daripada bola terlepas ke pihak lawan iaitu pemain Perak (Zaquan) sedangkan Zaquan hanya bergerak tanpa menghalang sebarang perbuatan Kunanlan untuk memainkan bola.

“Pembantu pengadil tersalah tafsir apabila dia melihat Zaquan berada pada posisi ofsaid dan hampir dengan Kunanlan. Begitulah realitinya pandangan yang bakal dilihat oleh pembantu pengadil dan berbeza dengan pandangan pengadil ataupun pembantu pengadil yang lain.

“Dalam situasi itu, gol dijaringkan disebabkan kelemahan Kunanlan sendiri. Jadi, jaringan itu seharusnya dibenarkan dan permainan perlu diteruskan dengan sepak mula oleh pasukan Johor DT.

“Bagaimanapun, sukar untuk melihat situasi secara realiti di atas padang jika hendak dibandingkan dengan penilaian yang begitu mudah untuk ditafsir menerusi rakaman video sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Perak terpaksa pulang hampa dengan kekalahan 0-3 untuk keputusan agregat 1-4 dan jelas, mungkin, bukan rezeki Perak untuk menamatkan penantian 10 tahun melangkah ke perlawanan akhir. – stadiumastro/HMetro