Harimau Malaya Bertemu Korea Utara Di Thailand

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan perlawanan di antara Malaysia menentang Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 10 dan 13 November ini akan diadakan di Thailand.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John berkata Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi kedua-dua perlawanan tersebut.





“Kami berasa amat bersyukur apabila FAT bersetuju untuk menjadi tuan rumah kepada dua aksi tersebut. Tindakan FAT itu telah memastikan AFC dapat mengekalkan integriti kelayakan Piala Asia 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Korea Utara menjadi tuan rumah pada 10 November manakala tiga hari kemudian Malaysia menjadi tuan rumah bagaimanapun venue dan masa perlawanan masih belum dipastikan lagi. – UTUSAN