Kelantan tidak terjejas tanpa Zahasmi

BIBI RAMJANI ILIAS KHAN (duduk, dua dari kiri) beramah mesra dengan wartawan dalam majlis Presiden K

KOTA BHARU 23 Okt. – Ketiadaan pengendali pasukan, Zahasmi Ismail yang menyambung cutinya sama sekali tidak akan menjejaskan persiapan Kelantan berdepan Melaka pada aksi hidup mati untuk kekal di Liga Super, Sabtu ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau percaya penolong jurulatih Sathit Bensoh mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Zahasmi itu.




Menurutnya, Bensoh sudah mempunyai pengalaman luas bersama pasukan tersebut ketika menggalas tugas sebagai penolong jurulatih sebelum ini.

“Kebanyakan pemain sudah serasi dengan taktikal Bensoh dan saya yakin dia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

“Bukan itu sahaja, saya juga lihat moral pemain tidak terjejas sebaliknya mereka terus fokus untuk berdepan Melaka,” kata­nya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengamal media di sini hari ini.





Bibi Ramjani memberitahu, keputusan untuk membenarkan Zahasmi menyambung cuti itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada exco KAFA.

Kata beliau, pihaknya juga akan mengkaji kontrak Zahasmi dengan badan induk itu yang bakal tamat pada November ini.

“Saya harap penyokong dapat memberikan sokongan penuh kepada Kelantan. “Sekiranya terjadi apa-apa keputusan negatif, kita kena terima dengan hati terbuka memandangkan Kelantan kini berada di hujung tanduk,” ujarnya.

Pada 14 Oktober lalu akhbar melaporkan, Zahasmi dikatakan mula bercuti seminggu.