Piala Malaysia : KFA Janji Ganjaran Besar Menanti Helang Merah

ALOR SETAR 25 Okt. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menjanjikan ganjaran lumayan buat para pemain, jurulatih serta pengurusan pasukan seandainya mereka berjaya mempertahankan Piala Malaysia pada perlawanan akhir, 4 November depan.

Biar pun belum mahu mendedahkan jumlah bonus yang bakal diberikan, presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hani­pah memberi bayangan jumlah­nya kemungkinan mengatasi RM25,000 seperti yang diterima setiap pemain setelah mereka menundukkan Selangor di Stadium Shah Alam, musim lalu.




“Bonus pasti ada tetapi jumlah­nya akan dimaklumkan kemudian. Mungkin kita akan beri lebih lagi daripada tahun lepas dan kemungkinan juga akan ada hadiah lain selain daripada bonus tersebut.

“Bersandarkan prestasi semasa, saya yakin pasukan ini mampu mempertahankan Piala Malaysia di bumi kita. Kini, kita dalam proses akhir untuk membayar bonus sebanyak RM10,000 kepada setiap pemain atas kejayaan layak ke final dan diharapkan mampu untuk menjadi pemangkin semangat buat mereka beraksi lebih cemerlang,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Ditanya mengenai isu-isu yang melingkari pasukan terutamanya spekulasi perpindahan beberapa pemain, Ahmad Bashah berkata, KFA tidak pernah menyekat rezeki mana-mana pemain yang me­nerima tawaran lebih lumayan daripada pasukan lain.




“Sekali lagi saya tegaskan yang kami akan membuat tawaran kepada pemain sekadar yang termampu. Jika mereka menerima tawaran lebih lumayan, takkanlah kami hendak menghalang rezeki mereka pula.

“Tetapi saya minta para pemain lupakan sementara semua perkara itu. Fokuskan kepada aksi menentang JDT 4 November depan dan bawa pulang piala untuk kita raikan bersama demi negeri dan penyokong tegar Kedah,” katanya.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih pasukan Lang Merah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, ke­dua-dua pasukan memiliki pemain yang berkualiti dan berkaliber.

Menurutnya, JDT mempunyai kelebihan dari segi barisan pemainnya yang terdiri daripada pemain kebangsaan dan berpengalaman.

“Pasukan Kedah pula mempunyai kekuatan tersendiri apabila bermain dalam satu pasukan berwibawa di samping memiliki pemain muda yang berbakat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan aksi perlawanan Kedah menentang Felda United Sabtu lalu, skuad hijau kuning itu bermain dengan baik sekali walaupun tanpa tiga tonggak utama.

“Tanpa pemain utama iaitu Liridon Krasniqi dan Khairul Helmi Johari yang dilayangkan kad kuning manakala Ken Ilso pula cedera, Kedah tetap mempamerkan permainan yang cukup baik dan ini petanda baik,” ujarnya. – Utusan