JDT sudah capai misi, Piala Malaysia cuma bonus

Bagi Presiden Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, kelab itu sudah mencapai matlamatnya musim ini iaitu memenangi Liga Super dan Piala FA untuk layak ke kejohanan Piala AFC.

Justeru Piala Malaysia hanyalah satu bonus dan bukannya keutamaan buat mereka, kata Tunku Tun Aminah.

“(Liga Super dan Piala FA) adalah matlamat utama dan polisi kelab JDT. Piala Malaysia ini ibarat bonus.




“Kalau dapat Alhamdulillah, kalau tidak dapat ia bukan satu keutamaan. Tetapi apa-apa kejayaan sekalipun, kami hargai,” katanya dalam wawancara yang disiarkan laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

JDT menempah tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Perak dengan agregat 4-1.

Pasukan itu bakal berdepan dengan juara bertahan Kedah, yang menewaskan Felda United dengan agregat 3-1.

Ini merupakan kali kedua JDT layak ke pentas final Piala Malaysia, selepas menjadi naib juara pada 2014 selepas tewas kepada Pahang 5-3 menerusi sepakan penalti.

Tiada bonus jika menang

Pada tahun lalu, bekas pengendali JDT Mario Gomez juga pernah menyuarakan perkara sama, bahawa piala yang menjadi rebutan semua pasukan bola sepak tempatan itu bukan matlamat utama JDT.

Mengulas lanjut tentang dasar JDT itu, Tunku Tun Aminah berkata kelayakan ke Piala AFC lebih diutamakan antaranya kerana ia membolehkan penaja kelab mempromosikan jenama mereka ke luar negara.




“Mereka mahu mempromosikan nama bukan sahaja dalam negara, tetapi juga di luar negara,” katanya lagi.

Tunku Tun Aminah juga berkata, pemain tidak akan diberikan bonus jika berjaya menjulang piala berprestij itu, apatah lagi pemain sudah menerima bonus yang besar selepas menjuarai Liga Super Ogos lalu.

Namun, katanya lagi, ia tidak bermakna JDT akan memberikan laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

“JDT mempunyai kelemahan kerana kehilangan (pemain pertahanan) Marcos Antonio. Tetapi saya yakin pemain akan memberikan seratus peratus dan saingan sengit,” katanya lagi.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 akan diadakan di Stadium Shah Alam 4 November ini. – MK