Bantah Pengadil Ketika Bertemu Hong Kong, FAM Didenda RM236,880

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima tamparan apabila berdepan hukuman denda berjumlah ASD56,000 (RM236,880), atas kesalahan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang lalu.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), badan induk itu telah membuat keputusan mendenda FAM sebanyak ASD56,000.




Dalam pertemuan dengan Hong Kong, 5 September lalu di Stadium Hang Jebat, Melaka, FAM perlu membayar ASD6,000 (RM25,380) selepas beberapa pemain negara mempertikaikan keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan pada masa kecederaan.

Sementara itu, tindakan penonton membaling bekas minuman kepada pengadil menambah denda sebanyak ASD7,500 (RM31,725).

Pengendali kebangsaan, Nelo Vingada, pula didenda ASD5,000 (RM21,150) kerana menghina dan mengkritik mutu pengadilan dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim, yang dilayangkan kad merah dalam aksi menentang Hong Kong, 10 Oktober pula bakal terlepas aksi menentang Korea Utara (10 November) dan didenda sebanyak ASD1,000 (RM4,230).





Salah laku penonton dalam Sukan SEA yang membaling bekas minuman ke dalam padang dan terowong pemain ketika aksi Indonesia dan Kemboja (24 Ogos) serta insiden membaling suar dalam pertemuan Malaysia dan Indonesia (26 Ogos) menyaksikan FAM didenda ASD5,000 dan ASD7,500.

Sementara itu, angkara penyokong tempatan melakukan sorakan menghina lawan dalam perlawanan dengan Brunei serta Singapura (14 dan 16 Ogos) merupakan kesalahan paling besar apabila didenda ASD15,000 (RM63,502) bagi setiap perlawanan.

Kesemua denda ini perlu dilunaskan 30 hari selepas keputusan dibuat AFC berdasarkan artikel 11.3. -stadiumastro