Status Rayuan Lesen Kelab Bakal Diketahui Selewatnya Esok

Image result for kelulusan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dijangka akan menerima keputusan rayuan lima pasukan Liga Super yang gagal mendapatkan kelulusan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya masih menunggu keputusan daripada Badan Rayuan (Appeal Commitee) sebelum dapat membuat sebarang perancangan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.




“Saya diberitahu mungkin dalam sehari dua (hari ini atau esok) ini kami akan mendapat keputusan rasmi rayuan lima kelab ini daripada Badan Rayuan.

“Pihak kami memang berharap keputusan ini akan diperoleh dalam masa terdekat bagi membolehkan kami membuat perancangan liga untuk musim depan,” katanya.

Sebelum ini, FAM mengumumkan lima daripada 12 pasukan Liga Super gagal mendapatkan kelulusan lesen kelab FAM atau AFC berikutan tidak mengikuti kriteria yang ditetapkan.

Lima persatuan yang gagal ialah Felda United, Kedah FA, Melaka United, Kelantan FA dan Sarawak FA.





Kevin menambah, jika didapati rayuan empat pasukan yang kekal di Liga Super musim depan iaitu Felda United, Kedah FA, Melaka United, Kelantan FA masih ditolak Badan Rayuan, itu bukan penamat untuk pasukan itu kekal beraksi di Liga Super musim depan.

Jelasnya, pasukan tersebut masih mempunyai peluang kerana perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD meeting) jika rayuan mereka gagal.

“Kalau diikutkan memanglah pasukan yang tidak mempunyai lesen tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

“Tapi perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah nanti. Jika majoriti ingin memberi peluang pasukan itu beraksi di Liga Super tanpa lesen kelab, mungkin mereka akan diberi pengecualian hanya untuk musim depan,” katanya.