Tiket Dalam Talian Final Piala Malaysia Habis Terjual!

Tiket Final Piala Malaysia - Kedah vs JDT

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Keterujaan penyokong dua gergasi bola sepak ta­nah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah untuk menonton final Piala Malaysia, Sabtu ini boleh dilihat apabila 10,500 tiket yang dijual secara atas talian habis tidak sampai dua jam selepas jualan dibuka, hari ini.

Melihat kepada sambutan yang sudah diduga itu, boleh dapat dibayangkan suasana yang bakal berlaku apabila jualan tiket di kaunter Stadium Darul Aman (Kedah) dan Stadium Tan Sri Hassan Yunus (Johor) dibuka serentak pada Rabu, pukul 9 pagi.




Bagaimanapun, kedua-dua pasukan mempunyai meka­nisme tersendiri dalam memastikan proses penjualan baki 61,500 tiket berjalan lancar. Situasi terkawal yang berlaku ketika separuh akhir dijangka diteruskan untuk aksi final.

Bagi Ketua Pegawai Operasi Tickethotline International Sdn. Bhd., Datuk Zairil Ayu Ibrahim, pihaknya tidak berdepan masalah sepanjang proses penjualan tiket atas talian dilakukan selepas mengagih­kannya mengikut kuota yang ditetapkan.

“Peruntukan yang diberikan untuk tiket atas talian sebanyak 10,500 dengan pecahan 4,000 untuk setiap peminat JDT dan Kedah, manakala 2,000 bagi penyokong neutral.

“Bagi tiket kanak-kanak kami tidak membuat sebarang pecahan kerana ia akan menyukarkan proses pembelian, jadi siapa cepat dia dapat.

“Bagi penyokong JDT dan Kedah, pembeli tiket perlu memasuk­kan nombor kad pengenalan.

“Daripada situ kami dapat mengenal pasti sama ada penyokong itu berasal dari dua ne­geri tersebut atau sebaliknya.

“Setiap tiket yang dibeli secara atas talian boleh menebusnya di Stadium Shah Alam bermula Rabu ini pada pukul 10 pagi hingga 6 petang dan penebusan boleh dilakukan hingga hari final,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.





Menurut Zairil lagi, dalam u­saha mengelak berlaku penipuan dan membendung gejala ulat tiket, pihaknya menetapkan setiap penyokong hanya boleh membeli empat tiket yang dilengkapi dengan ciri-ciri ke­selamatan terbaharu.

“Setiap ta­hun kami akan mengeluarkan ciri-ciri keselamatan berbeza dan sekiranya ada berlaku penipuan kami akan dapat mengatasinya. Pihak kami akan memberi taklimat kepada polis dan pihak yang menjaga pintu masuk tentang ciri-ciri keselamatan tiket final tersebut.

“Mereka yang cuba menipu dengan meniru tiket final ini tidak akan dapat mencetak sama 100 peratus. Pasti akan ada kekurangan daripada segi kualiti dan ciri-ciri ke­selamatan dan daripada situ ia dapat dikesan,” katanya lagi.

Pertembungan JDT dan Kedah diibaratkan sebagai ‘buku bertemu ruas’.

Jika JDT turun dengan status juara Liga Super empat kali berturut-turut, Kedah pula merupakan penyandang juara Piala Malaysia, malah skuad Lang Merah melayakkan diri ke pentas akhir buat musim ketiga berturut-turut.

JDT bakal diperkuatkan oleh penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Mohammed Ghaddar (23 gol), selain bintang tempatan seperti Safiq Rahim.

Kedah, juara lima kali pula mempertaruhkan penyerang dari Denmark, Ken Ilso Larsen yang meledak 15 gol dalam liga musim ini, selain bintang tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar.