Penyokong Kedah Mengamuk, Tiket Habis Terlalu Cepat

Image may contain: 3 people, crowd and outdoor

Sebahagian besar penyokong di Stadium Darulaman pulang hampa apabila 10,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) habis dijual dalam tempoh 45 minit, pagi ini.

Berbanding dua perlawanan akhir sebelum ini, penyokong Kedah yang ditemui rata-rata terkejut kerana ia habis lebih awal daripada biasa.

Walaupun empat kaunter dibuka dengan setiap peminat dihadkan tiga tiket sahaja dalam satu pembelian, mereka menganggap 45 minit terlalu pantas jika benar 10,000 tiket dijual.




“Kami datang jam 4 pagi, ada yang datang lebih awal, dari jam 8 malam tadi pun belum dapat tiket lagi. Bayangkan, sekejap sahaja tiket sudah habis, macam mana?,” kata salah seorang penyokong Kedah.

Lantaran itu, kekecohan hampir tercetus di perkarangan utama stadium apabila ada penyokong mahu menyerbu masuk ke Pejabat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Sementara itu ratusan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dekat Stadium Darulaman hari ini bagi menyatakan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat tiket.

Kesemua mereka bertindak sedemikian setelah dimaklumkan tiket telah habis dijual pada pukul 10 pagi, walaupun empat kaunter baru dibuka sejam sebelum itu.

Keadaan itu menyebabkan para penyokong yang tidak berpuas hati mahu menyerbu pejabat KFA kerana mendakwa penerangan yang diberikan oleh persatuan itu agak meragukan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar memberitahu sebanyak 30,000 tiket telah diperuntukkan dan daripada jumlah itu 18,000 telah diperuntukkan kepada 400 bas, manakala lebih 3,000 tiket lagi kepada kelab gabungan, pasukan, exco KFA dan penaja.

“Hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit,” katanya.





Sementara itu, Shaik Annuar Shaik Ahmad Yusuff, 34, yang merupakan wakil penyokong berkenaan berkata dia mahu membuat laporan polis berhubung ketidaktelusan KFA dalam penjualan tiket tersebut.

“Saya bersama penyokong lain akan membuat laporan polis kerana penerangan yang diberikan oleh KFA meragukan. Tambahan pula, mengapa peruntukan tiket kepada ‘orang dalam’ lebih banyak berbanding kepada peminat.

“Mereka perlu ingat, penyokong-penyokong inilah yang sentiasa bersama pasukan Kedah dan bukannya ‘orang dalam’ itu. Kalau tiada penyokong, pasukan bola sepak Kedah tidak ke mana,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman.

Intan Md Saad, 39, dari Sungai Petani juga menyatakan perasaan kecewa tidak mendapat tiket walaupun telah beratur di kaunter tiket seawal 7 pagi.

“Saya sanggup beratur walaupun masih dalam keadaan sakit kerana baru dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan pada 10 Okt lalu. Tapi apabila berada di kaunter, mereka memaklumkan bahawa tiket sudah habis walaupun baru 30 orang membeli.

“Pihak KFA sepatutnya tulus dalam penjualan tiket ini kerana penyokong-penyokong Kedah memang hendak ke Stadium Shah Alam untuk menonton perlawanan akhir antara Kedah dan JDT,” katanya.

Setakat ini lima laporan polis dibuat penyokong Kedah selepas masing-masing gagal mendapat tiket untuk aksi akhir.