Kami memang terbaik – Morais

Ulisses MORAIS (dua dari kiri) meraikan kejayaan menewaskan Kedah

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais menyifatkan masih terlalu awal untuk skuad Harimau Selatan memikirkan mengenai perancangan pasukan pada musim depan, sebaliknya mahu mengambil masa supaya dapat berehat terlebih dahulu.

JDT yang masih segar lagi dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut menambah satu lagi trofi mereka apabila menutup tirai musim ini dengan kejayaan merangkul Piala Malaysia buat kali pertama.




Skuad Harimau Selatan layak untuk beraksi dalam perlawanan pusingan awal kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2018 Januari depan selepas mengekalkan kejuaraan Liga Super, namun pengendali dari Portugal itu berkata, mereka mahu berehat seketika setelah bekerja keras sepanjang tahun ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada barisan kejurulatihan JDT kerana tanpa mereka mungkin kami tidak memenangi Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah JDT. Terima kasih kepada pemain dan penyokong. Piala ini juga ditujukan kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim).

“Sememangnya kami layak memenangi piala ini kerana kami bermula dengan baik.

“Sudah pasti kami akan fikirkan mengenai perancangan masa depan namun kami mahu berehat seketika,” katanya kepada pemberita selepas final di Stadium Shah Alam, semalam.





JDT menamatkan musim ini dengan kejayaan merangkul Piala Malaysia selepas menewaskan juara bertahan, Kedah 2-0 hasil jaringan Aidil Zafuan Abdul Radzak seawal minit ketiga dan Gonzalo Cabrera pada minit ke-63.

Dalam pada itu, Morais mempertahankan keputusannya menurunkan Aidil, Ahmad Hazwan Bakri dan Gary Steven Robbat dalam kesebelasan utama kerana menyifatkan semua pemainnya mampu beraksi dengan baik.

“Bagi kami ini bukan kejutan tetapi untuk orang di luar sana mungkin akan terkejut. Kami selalu memberitahu kepada pemain bahawa setiap daripada mereka boleh bermain dalam kesebelasan utama.

“Perlawanan kali ini kami memilih tiga muka berbeza dan mereka buktikan mereka boleh bermain,” katanya lagi.