Kelayakan AFC B-19: Belasah Indonesia Cerahkan Peluang Skuad Bojan Hodak

Malaysia mudah atasi Indonesia

KEMENANGAN bergaya anak buah Bojan Hodak apabila membenam Indonesia 4-1 pada aksi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Paju, Korea Selatan, hari ini sememangnya mengejutkan ramai.

Bagaimanapun, Hodak mendedahkan rahsia di sebalik kemenangan bergaya itu yang mencerahkan peluang mereka mengetuk pintu pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia, tahun depan apabila mengumpul sembilan mata maksimum selepas menewaskan Timor Leste 3-1 dan Brunei 1-0, sebelum ini.




“Saya akui sebenarnya bukan mudah menewaskan Indonesia, apatah lagi selepas lawan itu membelasah Brunei dan Timor Leste dengan kedua-duanya berakhir dengan keputusan 5-0 berbanding kami yang sekadar menang tipis saja terutamanya ke atas Brunei yang jelas menyentap semangat pemain.

“Namun, saya gunakan permainan psikologi bagi menaikkan semangat pemain. Dalam pasukan ini, kami mempunyai ramai pemain dari Pulau Pinang dan Kedah yang ketika ini keluarga mereka ditimpa masalah banjir.

“Jadi, saya ingatkan mereka mengenai kesusahan keluarga dan mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah. Tak sangka pemain saya memberi tindak balas cukup baik di mana mereka beraksi demi keluarga tersayang,” kata bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan itu.

Skuad negara akan melengkapkan saingan Kumpulan F dengan menentang Korea Selatan Rabu ini dan sekiranya menewaskan pasukan tuan rumah itu, mereka akan muncul juara kumpulan sekali gus layak automatik beraksi bersama 15 lagi pasukan terbaik termasuk Indonesia yang sudah layak lebih awal atas tiket selaku tuan rumah.




Bagaimanapun, sekiranya tewas atau seri, skuad negara masih berpeluang mara dengan mereka kini berada di posisi terbaik untuk muncul sebagai lima pasukan naib juara terbaik di pusingan kelayakan ini hasil pungutan mata yang tinggi.

Dalam perlawanan pagi tadi, Malaysia menewaskan Indonesia dengan jaringan 4-1. Gol-gol pasukan negara dijaringkan oleh Hadi Fayyadh, Akhyar Rashid dan Shivan Pillay Asokan.

Sekiranya anak didik Hodak layak, mereka akan mengikut jejak dua pasukan muda negara iaitu skuad B-23 dan B-16 yang turut mengesahkan kemaraan di pusingan akhir AFC tahun depan di mana pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee beraksi di China Januari ini, sementara skuad Lim Teong Kim menjadi tuan rumah, Ogos nanti.