Andrea Pirlo umum persaraan

ROME: Legenda bola sepak Itali, Andrea Pirlo mengumumkan persaraan daripada kerjayanya hari ini selepas menjuarai Piala Dunia 2006, dua gelaran Liga Juara-Juara dan enam kejuaraan Serie A.

Pemain berusia 38 tahun yang juga bekas pemain tengah Juventus dan AC Milan itu membuat penampilan terakhir pada lewat perlawanan bersama kelabnya, New York City menentang Columbus Crew, sehari sebelum mengumumkan dia bersara.




“Bukan saja perjalanan saya di New York sudah berakhir, tetapi seluruh kerjaya bola sepak saya sebagai pemain juga berakhir,” kata Pirlo menerusi akaun Twitter miliknya.

KAPTEN Itali, Andrea Pirlo (kiri) ketika mewakili negaranya pada Piala Dunia 2014. – Foto AFP

“Saya mahu mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan anak-anak saya di atas sokongan dan kasih sayang mereka kepada saya, pasukan yang saya pernah bermain dan semua orang yang membuatkan kerjaya saya menakjubkan.”

“Tidak dilupakan juga semua peminat di seluruh dunia atas sokongan mereka. Kamu semua akan sentiasa saya ingati.”

Pirlo berhijrah ke Amerika Syarikat pada hujung saingan musim 2014/2015 selepas memenangi gelaran Serie A bersama Juventus – gelaran keenam keseluruhan buat dirinya – termasuk dua bersama AC Milan.

Dia sebelum ini pernah mengumumkan musim ini adalah yang terakhir dia sebagai pemain tetapi pasukannya tewas kepada Columbus Crew dalam aksi terakhir saingan Major League Soccer.

ANDREA Pirlo ketika beraksi bersama AC Milan. – Foto AFP

Pirlo yang memulakan kerjaya di Brescia turut beraksi untuk Inter Milan dan Regina sebelum menyertai Milan yang menyaksikan dia menjuarai dua trofi Serie A pada 2003 dan 2007.





Dikenali sebagai pakar sepakan percuma, dia dilabel sebagai ‘arkitek’ yang kreatif dalam mengatur serangan buat pasukannya.

Selepas kontraknya tamat pada 2011, dia menyertai Juventus.

LEGENDA bola sepak Itali, Andrea Pirlo mengumumkan persaraan daripada bola sepak. – Foto AFP

Di Turin, Pirlo terus menyerlah biarpun usia semakin meningkat apabila menang empat gelaran liga dan Piala Itali.

Perlawanan terakhirnya di Eropah adalah ketika Juventus bermain dalam aksi final Liga Juara-Juara menentang Barcelona pada 2015.

Dengan 116 kap bersama Itali selain menjaringkan 13 gol sepanjang 13 tahun bersama skuad kebangsaan itu sehingga 2015, Pirlo menghabiskan dua musim terakhir sebagai pemain bersama New York City FC. – AFP