Marcote, Gomez minat latih Kedah

 

SELEPAS Mohd. Nidzam Adzha Yusoff memberi bayangan untuk melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Kedah, sudah ada beberapa individu menunjukkan minat dengan ‘kerusi panas’ itu.

Mereka yang dimaksudkan itu ialah Mario Gomez (gambar kecil) dan Ramon Marcote yang berhasrat untuk mengisi jawatan baharu itu jika Mohd. Nidzam benar-benar serius tidak mahu lagi bertugas sebagai ketua jurulatih Helang Merah.

Gomez yang pernah melatih skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) meninggalkan kenangan manis apabila membantu skuad Harimau Selatan memenangi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat kali pertama pada 2015.




Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, beliau hanya menanti tawaran daripada mana-mana kelab dan tidak menolak andaian melatih Kedah jika diberikan peluang oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Sudah pasti saya ber­minat. Saya pernah menyaksikan mereka (Kedah) bermain pada Januari lalu dan saya juga tahu JDT menang (Piala Malaysia).

“Kedah adalah pasukan kuat dan memiliki pemain-pemain bagus. Saya masih ingat, pemain No. 8 mereka (Liridon Krasniqi) adalah seorang pemain yang cukup hebat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Sementara itu, rakan sejawat Gomez, Marcote juga mengakui benar-benar merindui atmosfera Liga Malaysia dan berharap dapat membuat penampilan semula dengan melatih kelab di negara ini.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu pernah melatih dan membimbing pasukan Kedah layak ke pentas final Piala Malaysia 2015, namun tewas kepada Selangor 0-2.

Ketika itu, Tan Cheng Hoe sedang mengikuti kursus kejurulatihan lanjutan Lesen A di China, sekali gus memberikan laluan buat Marcote untuk memikul tanggungjawab sebagai pengendali utama.





“Pengalaman di Kedah masih kuat di hati. Saya boleh mengingati setiap kenangan ketika bersama mereka dan pengalaman itu benar-benar berharga.

“Jika ada tawaran dari Malaysia, saya tidak teragak-agak untuk kembali ke sana kerana suasana bola sepak Malaysia amat mengagumkan.

“Saya mahu kembali ke sana jika ada peluang, apatah lagi tawaran itu datang dari Kedah,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan, Mohd. Nidzam meminta pengurusan KFA segera mencari ketua jurulatih baharu supaya perancangan pasukan untuk mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan dapat dilakukan dengan lebih tersusun.

Permintaan itu hadir selepas Kedah tewas 0-2 kepada JDT pada final Piala Malaysia di Shah Alam, Sabtu lalu.

Mohd. Nidzam pasrah dan mahu KFA meneliti semula kontrak kerana tugasnya selaku pemangku ketua jurulatih diberikan sehingga tamat musim ini. – Kosmo