Safiq Rahim Patut Dihukum – Zakaria

Image result for Zakaria Rahim

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) digesa mengambil tindakan ke atas Safiq Rahim susulan mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong yang jelas melanggari etika seorang pemain bola sepak profesional.

Bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim berkata, perbuatan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mencarut di hadapan pihak media yang kemudiannya menjadi bahan tatapan seluruh peminat tidak sepatutnya terlepas daripada tindakan disiplin dengan FAM wajar menghukum pemain tengah berkenaan.

Zakaria yang pernah mengendalikan beberapa kelab amatur di Manchester, England selama enam tahun menegaskan, setiap bidang kerjaya memiliki etika yang mesti dipatuhi termasuklah pemain bola sepak yang terikat dengan etika Fairplay atau Respeck.





Katanya, walaupun ketua pasukan kebangsaan itu mungkin sekadar melepaskan tekanan selepas membantu JDT menjuarai Piala Malaysia, dia ketika itu masih lagi memakai jersi kelabnya yang membawa imej Liga Malaysia dan sukan bola sepak secara amnya.

“FAM dan FMLLP tak boleh berdiam diri. Ini contoh tak baik yang jauh sekali menyimpang dengan etika Fairplay atau Respeck yang ditekankan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) selama ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

BACA : VIDEO To All Haters, Punxxk! Gua Champions Sial – Safiq Rahim

Jelasnya, isu berkenaan pernah berlaku kepada bekas penyerang Manchester United, Wayne Rooney pada 2011 ketika kelabnya berdepan West Ham United di mana Rooney mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong dan pengkritiknya yang sempat dirakam pihak media.




Kelakuan Rooney itu akhirnya mendapat perhatian serius Persatuan Bola Sepak Englang (FA England) yang kemudian menggantungnya dua perlawanan kerana didapati bersalah menghina penyokong.

“Kes Rooney antara contoh yang harus FAM dan FMLLP ambil kira. Dia yang kini bermain untuk Everton dihukum dan kemudiannya tampil memohon maaf atas kesilapannya serta mengakui dirinya melanggar etika pemain profesional.

“Jadi, takkan badan pentadbir bola sepak kita nak berdiam diri atau mahu memenangkan Safiq yang terang-terang dalam rakaman video mencarut dan menghina penyokong. Sebagai pemain profesional, dia kena terima hakikat bahawa kritikan adalah sebahagian daripada hidupnya.

“Tetapi dia tidak boleh bertindak balas kerana dia ada etika selain menjadi ikon kepada masyarakat dan kanak-kanak. Kalau tak tahan dicemuh, berhenti jadi pemain bola dan pergi jadi askar, mekanik atau polis,” katanya.

Menerusi rakaman video berdurasi seminit yang viral ketika ini, Safiq dilihat seperti melepaskan geram kepada pengkritik yang dianggap membenci JDT apabila secara tiba-tiba menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat. – HMetro