Tiada Kontrak Baru, Kini Saya Adalah Ejen Bebas – Andik

Kuala Lumpur: Pemain sayap lincah Selangor, Andik Vermansyah hampir pasti meninggalkan pasukan itu pada musim hadapan apabila tidak menerima kontrak baharu daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas kontrak sedia adanya sudahpun berakhir November ini.

Namun, pemain yang digelar ‘Messi Indonesia’ itu mengakui dia masih lagi mahu terus beraksi di Liga Malaysia (Liga M) sekaligus menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan tawaran daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmatnya pada musim hadapan.




“Ya, kontrak saya bersama Selangor sudahpun berakhir dan kini saya adalah ejen bebas. FAS belum lagi menghubungi saya untuk menawarkan kontrak baharu jadi saya rasa mungkin setakat ini sahaja jodoh bersama pasukan Selangor.

“Berkemungkinan FAS ada perancangan lain dan tidak lagi mahu menggunakan khidmat saya pada musim akan datang.

Bagi saya, isu tidak ditawarkan kontrak adalah perkara biasa dalam dunia bola sepak profesional dan saya menerima jika itu yang berlaku.

“Namun, pulang ke Indonesia bukanlah pilihan utama saya buat masa ini kerana saya mahu terus beraksi di negara ini pada musim akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.





Dalam masa sama, bekas pemain Persebaya Surabaya itu menjelaskan beberapa pasukan sudah ‘merisik’ untuk menyatakan minat terhadap khidmatnya dalam usaha memperkuatkan pasukan masing-masing bagi mengharungi musim baharu.

“Ada beberapa pasukan sudah bertanya mengenai situasi saya namun belum ada lagi pasukan yang menunjukkan minat mereka dengan serius. Justeru, saya masih menunggu tawaran rasmi sebelum boleh mula membuat pertimbangan.

“Buat masa ini, saya tidak mahu mendedahkan pasukan yang berminat. Apapun, saya yakin mereka akan datang dengan tawaran begitu memuaskan sekaligus membolehkan impian saya untuk terus kekal beraksi di sini tercapai,” katanya.

Pemain kelahiran Jember itu mula menyertai The Red Giants pada 2013 dan sepanjang empat musim menyarung jersi skuad Gergasi Merah itu, Andik berjaya membantu pasukan itu melengkapkan Misi 33 dengan merangkul Piala Malaysia 2015. – BH