Ifwat Akmal Dedah Masa Depan Bersama Kedah

PETALING JAYA: Penjaga gol muda yang menjadi perhatian, Ifwat Akmal Che Kassim mendedahkan masa depannya bersama skuad hijau kuning untuk musim depan.Bintang muda Kedah berusia 21 tahun ini sememangnya bertuah kerana berpeluang beraksi di pelbagai pentas besar bersama skuad negerinya.
“Ada tawaran dari pasukan pantai timur, tapi tak rasmi. Tapi saya masih lagi ada kontrak setahun dengan Kedah.
“Buat masa sekarang saya belum bersedia untuk bertukar pasukan lagi.
“Saya akan habiskan kontrak dengan Kedah ini. Lagipun mereka (Persatuan Bola Sepak Kedah) telah memberi kenaikan gaji untuk pemain.
“Jadi tidak ada sebab saya berpindah kerana Kedah juga pasukan yang hebat,” ujarnya yang gembira dengan berita kenaikan gajinya itu.
Dalam pada itu, Ifwat tidak menafikan satu hari nanti dia mungkin akan cuba mencari pengalaman bersama pasukan lain.
“Saya masih muda, sudah tentu ada perasaan ini menambah pengalaman. Tetapi apa yang pasti, jika berpindah pun bukan kerana duit.
“Faktor kekerapan bermain adalah keutamaan saya,” jelasnya yang bakal menamatkan zaman bujangnya penghujung tahun depan. – mStar