Bukan buat kecoh hanya ‘bergurau’

BURIRAM, THAILAND: Penyokong Harimau Malaya menafikan cuba mencetuskan kekecohan di Stadium I-Mobile, selepas kekalahan 1-4 skuad kendalian Nelo Vingada kepada Korea Utara pada aksi kelayakan Piala Asia 2019, kelmarin.

Pengendali laman Facebook UM’07 yang mengaku berada di lokasi kejadian bersama kumpulan penyokong itu mendakwa, mereka bukan cuba untuk mencetuskan kekecohan, sebaliknya hanya melakukan ‘gurauan kasar’ terhadap pemain Harimau Malaya.

“Suka admin (pengendali laman Facebook UM’07) katakan apa yang admin saksikan semalam (kelmarin) hanyalah satu gurauan kasar saja, tak nampak pun cubaan untuk cetus kekecohan dan aksi amuk daripada penyokong Malaysia.





“Rasanya kalau penyokong marah atau mengamuk atau cuba cetuskan kekecohan, bukan macam semalam caranya,” kata satu kenyataan yang dipetik di laman Facebook UM’07 dan difahamkan ia milik kumpulan penyokong Ultras Malaya.

Kelmarin, sekumpulan lebih 20 penyokong dilaporkan berteriak meluahkan perasaan tidak berpuas hati terhadap barisan pemain Harimau Malaya yang sedang menaiki bas pasukan di perkarangan stadium terbabit selepas perlawanan tamat.

Ia susulan kekalahan Harimau Malaya kepada Korea Utara selain gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan kempen kelayakan Kumpulan B. – Berita Harian