Kekalahan Harimau Malaya Bukan Salah Vingada – Sathianathan

Image may contain: 1 person, sitting

PENGENDALI skuad kebangsaan, Nelo Vingada tidak seharusnya dipersalahkan susulan prestasi hambar yang diperagakan anak buahnya dalam beberapa perlawanan yang diharungi sebelum ini termasuklah diaibkan Korea Utara 1-4 pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, malam tadi.



Ini berikutan wujudnya jurang yang besar antara kualiti pemain kebangsaan dengan pemain yang pernah dikendalikan Vingada sebelum ini sekaligus menyebabkan beliau yang mendapat julukan ‘The Professor’ gagal untuk merencanakan apa yang dimahukan ketika bersama skuad Harimau Malaya.

Situasi itu diakui oleh bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan yang menjelaskan Vingada terpaksa bekerja dengan set pemain yang dilihat adalah pemain terbaik di negara ini namun bergelut apabila dia tidak dapat mencorakkan pasukan disebabkan faktor kualiti pemain yang dimilikinya.

“Jika dilihat pencapaian yang diraih Vingada sebelum ini, kita boleh lihat betapa dia adalah seorang jurulatih yang berkaliber dan ada reputasi yang tinggi. Namun dia berdepan kekangan apabila pemain yang ada sekarang tidak dapat mengikuti apa yang dimahukan.

“Berbeza apabila dia mengendalikan beberapa pasukan terdahulunya di mana dia memiliki pemain dengan kemahiran yang sangat baik dan mampu mengikut apa sahaja yang dimahukan sekaligus berjaya menghasilkan keputusan yang positif.

“Mungkin sebelum ini Vingada tidak tahu kemampuan sebenar pemain kita. Jadi dengan keputusan yang dilakar dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Vingada sudah sedar inilah realiti yang perlu dihadapi olehnya sebagai pengendali skuad Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.




Prestasi skuad kebangsaan terus terumbang-ambing dengan mereka kini seakan sudah boleh melupakan impian mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 selepas dibelasah Korea Utara 1-4 pada aksi kelayakan Kumpulan B di Stadium I-Mobile, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya kini hanya memiliki peluang yang sangat tipis untuk melepasi pusingan kelayakan selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan dan kekal di kedudukan tercorot.

Berbaki dua aksi lagi, anak buah Vingada itu perlu menang semua perlawanan itu termasuk berdepan Korea Utara, Isnin ini dan Lubnan pada 27 Mac tahun depan.

Namun, jika menang kedua-dua aksi itu sekali pun, Harimau Malaya masih perlu mengharapkan Hong Kong dan Korea Utara tidak memenangi satu daripada dua perlawanan terakhir mereka.

Malah, pengendali kelahiran Portugal itu juga masih belum menamatkan kemarau tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan membimbing Harimau Malaya termasuk aksi kelayakan Piala Asia dan persahabatan antarabangsa. – HMetro