Misi Jaga Maruah Bola Sepak Negara, Vingada Buat Beberapa Perubahan

BURIRAM: Harimau Malaya akan membuat beberapa perubahan dalam pasukan bagi pertemuan pusingan kedua Kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara selepas tewas 1-4 kepada pasukan bimbingan Jorn Andersen itu dalam perlawanan pertama dua hari lalu.

Ketua jurulatih Nelo Vingada berkata perubahan itu penting memandangkan beberapa pemain masih cedera serta belum pulih daripada keletihan.



“Ramai pemain masih belum pulih daripada perlawanan pertama yang berlangsung kira-kira 48 jam lalu. Keadaan adalah sukar namun kami ada tanggungjawab untuk bermain dan bermain dengan baik. Kami rasa kami mampu bermain dengan baik,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium i-mobile, di sini Ahad.

Pada Isnin (malam ini), pertemuan antara Malaysia dan Korea Utara akan bermula pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia). Menurutnya perlawanan dua hari lepas mendedahkan jurang besar kualiti dan standard antara Liga Malaysia dan perlawanan antarabangsa.

Perlawanan antara Malaysia dan Korea Utara kata beliau berlangsung dalam rentak pantas  yang pemain Malaysia tidak biasa.

“Mereka (pemain Malaysia) dipaksa berlari lebih pantas dan lama daripada yang mereka biasa dalam Liga Malaysia,” katanya, menambah rentak dan kualiti  liga tempatan Malaysia perlu ditambah baik dan setara dengan perlawanan antarabangsa.

Beliau menggambarkan Liga Malaysia sebagai ‘kereta biasa’ manakala perlawanan antarabangsa adalah ‘kereta super’.

Bagaimanapun Vingada berkata beliau nampak peningkatan dalam kualiti dan standard perlawanan Liga Malaysia sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Mei lepas, namun masih banyak usaha perlu dilakukan.




PEMAIN Harimau Malaya menjalani latihan terakhir di Stadium i-Mobile,

Jurulatih berusia 64 tahun dari Portugal itu yang dikritik hebat susulan kekalahan Malaysia Jumaat lalu, yang keenam selepas dilantik, mengingatkan peminat Malaysia bahawa usaha untuk mengubah nasib bola sepak Malaysia mengambil masa dan tidak mengharapkan kejayaan dalam tempoh semalaman.

Selepas mengharungi empat perlawanan dalam peringkat kumpulan, skuad negara masih belum mampu melakar kemenangan dengan sekadar meraih satu mata.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu, masih menaruh harapan kerana secara matematik skuad negara masih berpeluang untuk layak ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu tetapi dengan syarat mereka perlu meraih mata maksimum daripada perlawanan esok dan pendahulu kumpulan Lebanon nanti.

Tonton perlawanan Malaysia bertemu Korea Utara secara Live streaming di bptvstream.com

“Kami telah meneliti beberapa kelemahan ketara yang boleh dilihat ketika perlawanan pertama. Perubahan taktikal dan strategi baharu akan ditetapkan untuk menghidupkan peluang kita bersaing dengan lebih baik dengan pemain pasukan lawan.

“Saya tidak pernah menyerah kalah sepanjang karier saya dan saya harap barisan pemain dapat membuktikan keupayaan mereka pada kali ini. Namun, sekiranya kami gagal saya percaya masa depan bola sepak Malaysia masih cerah kerana pemain muda telah menunjukkan peningkatan prestasi yang mendadak,” ujarnya.

Vingada yang telah membimbing skuad skuad Harimau Malaya sejak Mei lepas dengan menandatangani kontrak selama dua tahun berharap dapat meraih kemenangan pertama peribadinya dalam tujuh perlawanan antarabangsa. – bernama/Utusan